Industri jangan kompromi soal keselamatan - Alexander

Iklan
Alexander ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kejuruteraan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia 2026 pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Pihak industri perlu memastikan aspek keselamatan tidak dikompromi meskipun kawalan kos dan keuntungan menjadi antara pertimbangan dalam menjalankan operasi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keselamatan perlu sentiasa diberi keutamaan kerana kos boleh dikira, namun nyawa dan keselamatan manusia tidak ternilai.

Iklan
Iklan

“Kepada industri, kawalan kos dan keuntungan memang penting, tetapi jangan sekali-kali berkompromi dalam soal keselamatan. Kos boleh dikira, tetapi nyawa dan keselamatan manusia tidak boleh diletakkan harga.

"Aspek pemudahcaraan, pembangunan bakat dan keselamatan perlu bergerak seiring bagi membentuk ekosistem kejuruteraan yang lebih dinamik, berintegriti dan berdaya tahan.

Iklan

“Ekosistem inilah yang akan menyokong kemajuan negara serta memastikan profesion kejuruteraan terus relevan untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kejuruteraan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) 2026 di sini pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Presiden LJM, Datuk Ibrahim Isa.

Lapan organisasi media yang menerima penghargaan khas termasuk Sinar Harian yang diwakili wartawan, Norafidah Assan (dua kanan) bergambar bersama Alexander (tengah).

Dalam pada itu, Alexander menggesa LJM supaya terus berperanan sebagai pemudah cara, pembuka peluang dan penggerak kemajuan dalam bidang kejuruteraan.

Katanya, setiap halangan perlu dibantu untuk dicari jalan penyelesaian, manakala peluang dan potensi yang ada perlu dibuka ruang untuk berkembang.

“Sebagai agensi yang membawa amanah kerajaan, ukuran kita mestilah pada impak,” katanya.

Beliau juga menyeru komuniti kejuruteraan berpengalaman supaya memberikan kepercayaan, bimbingan dan ruang kepada generasi baharu untuk mencuba.

Katanya, infrastruktur, bangunan, sistem kehidupan harian dan teknologi yang menggerakkan industri semuanya mempunyai sentuhan serta sumbangan jurutera.

"Namun, banyak sumbangan ini tidak diketahui masyarakat. Justeru, jangan hanya lakukan kerja yang baik, tetapi ceritakan juga kerja baik yang kita lakukan.

"Ketengahkan inovasi, penyelesaian dan manfaat projek kejuruteraan kepada rakyat supaya masyarakat lebih memahami nilai profesion ini.

"Kita mahu anak-anak muda melihat kejuruteraan sebagai profesion yang menarik dan mempunyai masa depan. Pada masa yang sama, kita mahu dunia melihat bahawa Malaysia mempunyai kepakaran kejuruteraan yang berkualiti dan mampu bersaing," katanya.

Pada majlis berkenaan, lima anugerah diraikan iaitu BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026, National Engineering Project Excellence Award (NEPEA) 2026, Special Mention International Engineering Award 2026, Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2026 dan Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2026.

Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2026 diberikan kepada Profesor Madya, Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Ir Dr Serene Lock Sow Mun manakala Tokoh Kejuruteraan Negara 2026 diberikan kepada Penasihat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Sri Ir Dr Judin Abdul Karim.

Dalam majlis sama, LJM turut menyampaikan penghargaan khas kepada lapan organisasi media sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan dalam penyampaian maklumat berkaitan bidang kejuruteraan serta usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan profesion itu.

Lapan organisasi media itu ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Sinar Harian, Utusan Malaysia, Free Malaysia Today (FMT), Sin Chew Daily, Malaysia Tribune dan TV Sarawak.