ISKANDAR PUTERI - Kegiatan sekumpulan penunggang motosikal yang menjadikan Lebuhraya Link Kedua Malaysia-Singapura sebagai lokasi melakukan aksi berbahaya dan membuat bising membawa padah apabila 31 motosikal disita polis dalam operasi awal pagi Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya @ Yahaya berkata, sebanyak 75 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan spesifikasi kenderaan dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri bermula jam 12 tengah malam itu turut membabitkan pemeriksaan terhadap 42 motosikal serta 50 individu terdiri daripada 48 lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 15 hingga 28 tahun.
“Sebanyak 31 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan, antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, ubah suai ekzos, nombor pendaftaran fancy, tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi," katanya dalam satu kenyataan.
Saifullah berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Iskandar Puteri.