TEMERLOH – “Aku dah terkena ni.”
Itu kata-kata terakhir Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin kepada anggota pasukannya selepas dipatuk tedung selar ketika melakukan latihan demonstrasi pengendalian reptilia di Dewan Taman Temerloh Jaya di sini pada Sabtu.
Kakaknya, Siti Aisyah Kamardin, 43, berkata, selepas memaklumkan mengenai patukan itu, arwah sempat menyimpan ular berkenaan ke dalam kotak sebelum pergi membasuh tangan.
Menurut Siti Aisyah, kejadian itu merupakan kali ketiga adiknya dipatuk ular, manakala dua kejadian terdahulu membabitkan reptilia berbeza.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota APM dipatuk ular meninggal dunia selepas lebih 14 jam bertarung nyawa
Anggota APM dipatuk ular ketika demonstrasi
'Tiga kali Allahyarham Muhamad Muazam dipatuk ular, pernah koma' - Kakak
“Alhamdulillah, masa itu masih boleh bertahan, cuma selepas kejadian arwah tidak boleh buat kerja berat dan buat kerja perlahan-lahan macam biasa saja,” katanya.
Berkongsi mengenai minat adiknya terhadap reptilia, Siti Aisyah berkata, Muhamad Muazam sudah lama meminati ular dan membela beberapa jenis reptilia di rumah termasuk tedung selar, python dan sawa.
Katanya, reptilia berkenaan sering dibawa ketika melakukan demonstrasi bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), namun dia tidak mengetahui secara terperinci bagaimana ular tersebut diperoleh.
“Saya tak pasti tentang ular itu, kena tanya adik angkat arwah. Tapi memang arwah yang pilih, kalau ada pertunjukan atau persembahan, memang dia akan bawa yang itu,” katanya.
Menurutnya, sepanjang seminggu sebelum kejadian, arwah juga banyak menghabiskan masa mengendalikan ular di rumah termasuk memandikan dan bermain dengannya.
“Saya tengok dia macam biasa saja, tak sangka pula kejadian itu berlaku,” katanya.
Mengimbas kejadian, Siti Aisyah berkata, dia menerima panggilan daripada adik angkat arwah yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam sebelum bergegas ke hospital.
Dalam kejadian itu, Muhamad Muazam Shah yang juga anggota APM Daerah Temerloh dilaporkan dipatuk ular ketika mengendalikan reptilia berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi Sabtu di HoSHAS selepas lebih 14 jam bertarung nyawa.
Jenazah disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, Temerloh.