PONTIAN – Kerajaan Johor akan meneliti aduan komuniti nelayan yang mendakwa aktiviti penambakan dan pembangunan di kawasan Tanjung Piai menjejaskan sumber pendapatan serta aktiviti harian mereka.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Md Israk Abdullah berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu dan akan mendapatkan maklumat serta hasil siasatan daripada agensi berkaitan bagi mengenal pasti kesan sebenar terhadap komuniti nelayan.
Menurut ADUN Kukup itu sekiranya terdapat bukti aktiviti penambakan menyebabkan gangguan terhadap aliran air, pencemaran, kerosakan tebing sungai atau menjejaskan hasil tangkapan, tindakan sewajarnya perlu diambil.
“Kita akan teliti perkara ini. Kalau benar ia menjejaskan pendapatan nelayan, kita perlu lihat bagaimana kerajaan boleh membantu dan agensi mana yang perlu mengambil tindakan.
“Yang penting, kita perlu ada laporan dan siasatan terlebih dahulu supaya tindakan yang diambil benar-benar berdasarkan fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan nelayan mengenai kesan beberapa projek pembangunan dan penambakan di sekitar kawasan pengkalan nelayan Simpang Kiri di sini pada Ahad.
Tegasnya, kerajaan negeri tidak menolak pembangunan, namun kepentingan serta kebajikan komuniti nelayan perlu diberi perhatian supaya pembangunan tidak menjejaskan sumber pendapatan mereka.
“Kalau melibatkan pencemaran, Jabatan Alam Sekitar (JAS), boleh menjalankan siasatan, manakala Jabatan Perikanan boleh melihat kesannya terhadap nelayan dan hasil tangkapan.
“Kita akan bawa perkara ini kepada agensi berkaitan supaya ia dapat diteliti dan tindakan susulan boleh dibuat,” katanya.