'Tiga kali Sarjan APM Muhamad Muazam dipatuk ular, pernah koma'

Iklan
Anggota APM, Allahyarham Muhamad Muazam Shah Kamardin pernah tiga kali dipatuk ular dan pernah koma sebelum 'pergi' selamanya.

TEMERLOH – Biar sudah tiga kali dipatuk ular sehingga pernah koma dan mengalami serangan jantung, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tetap tidak meninggalkan minatnya terhadap reptilia berkenaan.

Minat itu bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin meninggal dunia selepas dipatuk tedung selar ketika melakukan latihan demonstrasi pengendalian reptilia di Dewan Taman Temerloh Jaya di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Kakaknya, Siti Aisyah Kamardin 43, berkata, kejadian terbaharu itu merupakan kali ketiga adiknya dipatuk ular, manakala dua kejadian sebelum ini membabitkan reptilia berbeza.

Siti Aisyah (tengah) berada di pusara adiknya, arwah Muhamad Muazam Shah Kamardin meninggal dunia selepas dipatuk tedung selar ketika menjalani latihan demonstrasi pengendalian reptilia.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota APM dipatuk ular meninggal dunia selepas lebih 14 jam bertarung nyawa

Anggota APM dipatuk ular ketika demonstrasi

Iklan

Siti Aisyah.

“Alhamdulillah, masa itu masih boleh bertahan, cuma selepas kejadian arwah tidak boleh buat kerja berat dan buat kerja perlahan-lahan macam biasa saja,” katanya pada Ahad.

Berkongsi lanjut, Siti Aisyah berkata, arwah sudah lama meminati ular dan membela beberapa jenis reptilia di rumah termasuk tedung selar, python dan sawa.

Ujarnya, reptilia berkenaan sering dibawa ketika melakukan demonstrasi bersama APM, namun dia tidak mengetahui secara terperinci bagaimana ular itu diperoleh.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi Sabtu, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular.

“Saya tak pasti tentang ular itu, kena tanya adik angkat arwah. Tapi memang arwah yang pilih, kalau ada pertunjukan atau persembahan, memang dia akan bawa yang itu,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu sebelum kejadian, arwah dilihat banyak menghabiskan masa mengendalikan ular di rumah termasuk memandikan dan bermain dengannya.

Mengimbas kejadian terbaharu, Siti Aisyah berkata, dia menerima panggilan daripada adik angkat arwah yang memaklumkan mengenai kejadian itu sekitar jam 12 tengah malam sebelum bergegas ke hospital.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, arwah sempat memberitahu anggota lain bahawa dirinya terkena patukan sebelum menyimpan tedung selar berkenaan ke dalam kotak.

"Namun, arwah kemudian rebah di situ dan anggota pasukannya membawanya ke hospital,” katanya.

Siti Aisyah berkata, dia kali terakhir bertemu adiknya kira-kira tiga minggu lalu di rumah dan ketika itu mereka sempat berborak seperti biasa.

Allahyarham Muhamad Muazam Shah

“Tak ada apa yang pelik dan arwah nampak seperti biasa. Kami sempat berborak,” ujarnya.

Dalam kejadian itu, Muhamad Muazam Shah yang juga anggota APM Daerah Temerloh dilaporkan dipatuk ular ketika mengendalikan reptilia berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi Sabtu di HoSHAS.

Jenazah disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, Temerloh.