KUALA TERENGGANU - Seekor gajah betina liar yang tersesat di kawasan kampung akhirnya berjaya ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, tangkapan itu dibuat berikutan aduan yang diterima pihak pejabat Perhilitan negeri berhubung kehadiran mamalia berkenaan di Kampung Jeram Hilir dan Kampung Jeram Manir pada 21 Ogos lalu.
Menurut beliau, kehadiran gajah liar itu bukan sahaja mendatangkan risiko keselamatan kepada orang awam, malah turut merosakkan tanaman serta harta benda penduduk tempatan.
"Seramai 12 anggota UTG Perhilitan Terengganu telah digerakkan ke lokasi aduan untuk menjalankan operasi tangkapan.
"Kita mengambil kira faktor risiko keselamatan penduduk serta situasi semasa, kerja pembiusan dijalankan kira-kira jam 12 tengah malam sebelum gajah berkenaan berjaya ditambat," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Jumaat lalu tular di media sosial seekor gajah yang dikesan tersesat dan memasuki kawasan kampung serta rumah penduduk setempat di Kampung Pengkalan Gelugor, Jeram, Manir, di sini.
Sementara itu, Dennis memberitahu, gajah betina yang memiliki saiz tapak kaki 16 inci itu kini berada dalam keadaan stabil dan sihat.
"Pemantauan berterusan akan terus dijalankan di lokasi tangkapan manakala pihak jabatan kini berada dalam peringkat persediaan bagi operasi pemindahan haiwan tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mendekati kawasan gajah tersebut ditambat kerana kehadiran orang ramai dan suasana riuh boleh mendatangkan tekanan kepada haiwan berkenaan.
"Kita mohon kerjasama masyarakat untuk memberikan ruang secukupnya kepada pihak Perhilitan bagi menguruskan penjagaan serta pemindahan gajah tangkapan itu dengan selamat," ujarnya.