TRIPOLI - Kumpulan penunjuk perasaan pada Sabtu sekali lagi menyekat pintu masuk pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Tripoli, susulan insiden serupa yang berlaku pada Jun lepas, lapor Xinhua yang memetik media tempatan.
Ahli pergerakan"No to Settlement", yang menentang kehadiran migran di Libya, menghalang kakitangan UNHCR daripada memasuki pejabat berkenaan selain mengimpal dan mengunci pintu pagar besi selepas memaksa pekerja meninggalkan premis itu, menurut laporan media dan rakaman video.
Setakat ini, pihak UNHCR mahupun pihak berkuasa Libya belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tunjuk perasaan pada Sabtu serta penutupan semula pejabat itu.
Pada 4 Jun lepas, ratusan penunjuk perasaan Libya bertindak menutup pejabat UNHCR akibat bimbang akan isu yang disifatkan mereka sebagai"penempatan tetap" migran tanpa izin di negara itu.
Misi Sokongan PBB di Libya (UNSMIL) menafikan dakwaan bahawa migran ditempatkan semula di Libya di bawah program PBB, dan menyifatkan tuduhan itu sebagai"palsu sepenuhnya".
Libya kekal sebagai pusat transit utama bagi migran yang mahu merentasi Laut Mediterranean untuk ke Eropah, dengan memanfaatkan kedudukan geografinya serta sempadan darat dan laut yang luas. - Bernama