Peranti kesihatan 'overclaim': Pengguna perlu lebih bijak

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian.

PERINGATAN Kementerian Kesihatan supaya orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan manfaat kesihatan yang dikaitkan dengan penggunaan ‘hydrogen inhaler’ atau mesin hidrogen wajar dilihat sebagai satu amaran serius terhadap trend pemasaran produk yang menjadikan kesihatan sebagai taruhan.

Isu berkenaan bukan sekadar mengenai kewujudan satu lagi peranti yang didakwa mampu memberi manfaat kepada tubuh badan, sebaliknya menyentuh persoalan sejauh mana pengguna dilindungi daripada dakwaan kesihatan yang belum dibuktikan secara saintifik.

Iklan
Iklan

Dalam keadaan masyarakat semakin terdedah kepada pelbagai bentuk promosi terutama di media sosial, dakwaan seperti mampu memberi kesan rawatan atau meningkatkan tahap kesihatan mudah mendapat perhatian.

Lebih-lebih lagi kepada individu yang sedang mencari alternatif bagi masalah kesihatan dan warga emas.

Iklan

Golongan berkenaan lebih terdedah kepada masalah kesihatan berkaitan usia dan mungkin mudah dipengaruhi oleh dakwaan yang disampaikan secara meyakinkan.

Janganlah anggap sesuatu produk itu berkesan hanya kerana ia dipromosikan sebagai produk kesihatan.

Iklan

Pada masa sama, aspek pendaftaran peranti dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) tidak boleh dipandang ringan.

Kewajipan mendaftarkan peranti perubatan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) menjadi antara mekanisme penting bagi memastikan produk yang berada di pasaran tertakluk kepada kerangka kawal selia ditetapkan.

Dengan maklumat itu, pengguna bukan sahaja perlu bertanya mengenai harga atau cara penggunaan sesuatu mesin, malah perlu menyemak terlebih dahulu status pendaftarannya.

Dalam konteks berkenaan, tindakan pengguna sendiri amat penting dan tidak bergantung sepenuhnya kepada dakwaan penjual atau jurujual.

Pengguna perlu jadikan ia sebagai rujukan utama dalam membuat semakan melalui saluran rasmi MDA sebelum mengeluarkan wang.

Selain itu, literasi kesihatan juga penting dalam membantu pengguna membezakan antara dakwaan pemasaran, pengalaman pengguna dan bukti saintifik.

Peringatan KKM juga memperlihatkan keperluan untuk memperkukuh pengawasan terhadap kaedah pemasaran produk yang dikaitkan dengan kesihatan.

Jika benar terdapat penjualan atau pengiklanan peranti yang tidak mematuhi keperluan undang-undang, penguatkuasaan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai tindakan menghukum peniaga.

Ia juga merupakan langkah melindungi pengguna daripada membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mengelirukan atau tidak lengkap.

Pengguna mempunyai hak untuk mengetahui jawapan kepada persoalan tersebut sebelum membeli.

Menerusi laporan Sinar Harian hari ini, ia menjadi titik kesedaran kepada masyarakat agar tidak menjadikan harapan untuk sembuh sebagai ruang mudah dieksploitasi oleh pihak yang mengejar keuntungan.