MELAKA – Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah, di sini pada Jumaat.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, operasi khas kira-kira jam 9 pagi itu dijalankan Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya bersama KPDN Melaka hasil maklumat risikan.
Menurutnya, seramai sembilan pegawai penguat kuasa KPDN terlibat dalam serbuan terhadap sebuah premis berpagar yang dikenal pasti digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pemindahan minyak diesel secara haram.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut disyaki dijadikan tempat pengumpulan dan penyimpanan minyak diesel tanpa sebarang lesen atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan.
“Pemeriksaan lanjut berjaya menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan dianggarkan 17,460 liter yang disimpan di dalam sebuah tangki skid (skid tank) dan dua buah lori tangki,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Azman berkata, penguat kuasa KPDN bertindak menyita keseluruhan minyak diesel berkenaan bersama sebuah tangki skid, satu unit pam, empat unit hos penyambung, dua buah lori tangki, sebuah lori kargo, lima unit telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa dokumen untuk siasatan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM334,363.20.
“Dalam operasi tersebut, tiga orang lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Pihak penguat kuasa juga mengeluarkan notis di bawah Seksyen 8(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengarahkan pengisytiharan stok dan penyerahan dokumen berkaitan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menggugat kepentingan rakyat serta mengakibatkan ketirisan hasil negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat menerusi WhatsApp KPDN di 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN,” katanya.