LIONEL Messi dikenakan hukuman denda kerana menampar pemain lawan dalam perlawanan Liga Bola Sepak Utama (MLS), lapor PA Media/dpa.
Bintang Inter Miami berusia 39 tahun itu bertindak kasar terhadap pemain Philadelphia Union, Quinn Sullivan, semasa perlawanan pada Rabu dengan memukul bahagian belakang kepala pemain tengah berkenaan.
Messi kelihatan berang selepas Sullivan didakwa menyikunya, sebelum pengadil masuk campur bagi menenangkan keadaan. Perlawanan di Subaru Park itu berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Satu kenyataan di laman sesawang liga itu memaklumkan:"Jawatankuasa Disiplin MLS telah mengenakan denda dengan jumlah yang tidak didedahkan ke atas penyerang Inter Miami CF, Lionel Messi, kerana melanggar dasar liga berhubung tindakan meletakkan tangan pada bahagian muka/kepala/leher pemain lawan pada minit ke-101+ perlawanan Miami menentang Philadelphia Union pada 19 Ogos.”
Perlawanan sengit itu berakhir dengan dua kad merah pada minit-minit akhir apabila pemain Miami, Yannick Bright, dan adik kepada Sullivan, Cavan, dilayangkan kad merah semasa masa kecederaan.
Seorang lagi pemain Miami, Ian Fray, turut dikenakan denda oleh MLS akibat perselisihan dengan Sullivan.
Miami kini berada di tangga kedua Eastern Conference, tujuh mata di belakang pendahulu liga, Nashville. - Bernama-PA Media/dpa