KUALA LUMPUR - Kualiti udara di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian, Sarawak terus merosot apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu meningkat kepada 196 setakat 4 petang ini, sekali gus menghampiri tahap sangat tidak sihat.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 10 kawasan lain turut mencatatkan tahap tidak sihat iaitu Kuching (189), Samarahan (179), Sri Aman (176), Sarikei (173), Sibu (162), Mukah (158), Bintulu (157), Samalaju (153), Bukit Rambai, Melaka (152) dan Miri (143).
Sementara itu, 57 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan baik, sangat tidak sihat atau berbahaya setakat ini.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus memantau kualiti udara ambien negara menerusi 68 stesen pengawasan bagi mengesan sebarang perubahan ketara yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan alam sekitar, dengan data IPU dikemas kini pada setiap jam.
Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Sementara itu, berdasarkan kemas kini ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) setakat 5.42 petang tadi kelompok titik panas bertaburan dikesan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan, manakala beberapa titik panas terpencil turut dikenal pasti di kawasan lain di wilayah Indonesia itu.
Pusat berkenaan turut mengesan titik panas terpencil di bahagian tengah dan selatan Sumatera, Semenanjung Malaysia, Jawa dan Sulawesi, manakala kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan dan Sumatera.
Portal ASMC turut memaklumkan Amaran Tahap 2 masih berkuat kuasa di rantau selatan ASEAN, dengan kemas kini mengenai keadaan jerebu di rantau itu dikeluarkan dua kali sehari.
Mengenai keadaan cuaca, ASMC meramalkan keadaan kering di kebanyakan kawasan selatan ASEAN dalam beberapa hari akan datang, manakala hujan dijangka berlaku di utara Sumatera, Semenanjung Malaysia dan utara Borneo.
Pusat itu juga memberi amaran kemungkinan peningkatan jerebu rentas sempadan susulan titik panas dan situasi jerebu yang semakin meningkat, khususnya di kawasan yang mengalami tempoh cuaca kering berpanjangan, dengan angin lazim dijangka bertiup dari arah tenggara atau selatan.
Dalam pada itu, hujan diramalkan terus berlaku di kebanyakan kawasan utara ASEAN, dengan hujan lebat dijangka melanda utara Vietnam, manakala kawasan lain di negara itu mungkin mengalami keadaan yang lebih kering.
Walaupun titik panas dan kepulan asap setempat mungkin muncul di kawasan yang lebih kering, keadaan jerebu secara keseluruhan dijangka terkawal, dengan angin lazim di rantau utara ASEAN dijangka bertiup terutamanya dari arah barat daya. - Bernama