AMK Perlis sokong prinsip Mufti, jangan politikkan isu perobohan kuil

Iklan
Azzin Izzad

KANGAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menyokong prinsip ditegaskan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa semua pihak perlu menghormati undang-undang dalam isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini.

Ketua AMK Perlis, Azzin Izzad Bahanudin berkata, isu penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya diheret menjadi polemik politik, kaum atau agama sehingga berpotensi menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tidak bermaksud peraturan berkaitan pemilikan tanah dan pembinaan boleh diketepikan.

“Sekiranya sesuatu struktur dibina tanpa kebenaran atau hak milik yang sah dan proses sewajarnya telah dilaksanakan, tindakan penguatkuasaan perlu dihormati.

Iklan

“Pada masa sama, AMK Perlis tetap mempertahankan hak masyarakat Hindu dan penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media pada Jumaat, Mohd Asri menegaskan Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan semua pihak perlu menghormati peraturan berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah.

Iklan

Menurut Mohd Asri, pembinaan rumah persendirian juga tidak boleh dilakukan dengan menceroboh tanah milik pihak lain atau tanah awam, apatah lagi pembinaan rumah ibadat yang turut tertakluk kepada peraturan ditetapkan.

Pada masa sama, Azzin Izzad berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk membangkitkan sentimen perkauman atau keagamaan, sebaliknya semua pihak perlu mengutamakan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kenyataan itu susulan laporan media mengenai kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menggesa Barisan Nasional (BN) menilai semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan merobohkan kuil berkenaan.

Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mendakwa tindakan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN menghormati kepelbagaian kaum dan agama sekiranya diberi peluang mentadbir negara di peringkat Persekutuan.

Beliau turut mengaitkan isu berkenaan dengan kerjasama UMNO, MCA dan MIC bersama PN dalam pilihan raya Negeri Sembilan sebelum ini.