KUANTAN – “Kami keluar secara merangkak sebab api sudah marak sampai atas bumbung.”
Demikian kata Nurul Nazira Mohd Yusof, 21, bersama ibunya, Saedah Ibrahim, 61, selepas rumah yang didiami mereka di Kampung Pandan 1 di sini terbakar dalam kejadian kira-kira jam 4 petang pada Khamis.
Menurutnya, situasi menjadi lebih cemas apabila tiga anak asuhan yang ketakutan berlari masuk dan bersembunyi di dalam bilik tidurnya selepas mendengar bunyi letupan.
“Bilik saya di bahagian depan dekat dengan pintu keluar, jadi saya mengangkat dua kanak-kanak dan ibu menarik seorang lagi.
“Kami keluar secara merangkak sebab api sudah marak sampai atas bumbung sebab rumah kayu, jadi api itu cepat sangat,” katanya pada Sabtu.
Mengimbas kembali mengenai kejadian tersebut, pembantu klinik itu memberitahu ketika kejadian dia bersama ibu sedang makan di ruang tamu sambil menyuap tiga anak asuhan ibunya sebelum terdengar bunyi seperti letupan.
“Saya tanya ibu bunyi apa tapi dia tidak tahu. Selepas kali kelima dengar bunyi letupan, saya tengok sudah ada api.
“Saya ambil kunci kereta nak selamatkan kereta dulu sebab dekat sangat,” ujarnya.
Ceritanya lagi, selepas berjaya keluar mereka terus memaklumkan kejadian kepada ibu kanak-kanak terbabit sebelum cuba menyelamatkan barangan lain.
Bagaimanapun, usaha itu tidak dapat diteruskan selepas melihat bumbung rumah sudah runtuh.
“Memang tidak boleh nak masuk balik, kami semua hanya mampu melihat dan menangis saja,” luahnya.
Nurul Nazira berkata, bapanya, Mohd Yusof Mohamed, 60, pada ketika itu keluar mengambil adiknya yang berusia 19 tahun dan belajar di Tingkatan Enam di Astana di sini.
“Saya segera menghubungi pihak bomba jam 4.02 petang, Khamis.
"Jalan sesak, jadi ayah lambat sampai rumah dan bomba sampai baru ayah tiba," katanya.
Dalam kejadian itu, anak sulung dari dua beradik memaklumkan sebuah lori milik bapanya yang digunakan untuk berniaga turut terbakar.
“Hanya kereta saya dan kereta ayah saja sempat diselamatkan dan sebuah lagi kereta ayah hangus sebab kereta tersebut pernah kemalangan dan tidak boleh bergerak,” jelasnya yang kini tinggal sementara di sebuah rumah inap desa di kawasan berhampiran.
Laporan polis mengenai kejadian itu telah dibuat pada malam Jumaat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, pihak Pejabat ADUN telah menyalurkan bantuan kewangan segera bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan rumah mangsa hangus sepenuhnya, termasuk buku, pakaian dan dua komputer riba milik anaknya yang masih bersekolah di Tingkatan Enam.
“Saya harap mereka sekeluarga tabah menghadapi ujian berkenaan dan menerima kejadian itu sebagai ketentuan ALLAH SWT," katanya ringkas.
Dalam pada itu, beliau menyarankan setiap isi rumah menyediakan alat pemadam api, khususnya mereka yang tinggal di rumah kayu, bagi membolehkan kebakaran kecil ditangani lebih awal.
“Kalau dapat ada alat pemadam api itu, mungkin kebakaran-kebakaran yang bermula dengan kecil dapat dielakkan,” ujarnya.