SHAH ALAM - Pelaburan Felda dalam syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantations (EHP) yang mencecah RM2,300 juta sejak 2016 didakwa tidak memberikan sebarang pulangan, selain Felda kini berdepan baki hutang sebanyak RM2,770 juta.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, nilai pelaburan tersebut turut susut kira-kira 81 peratus dengan nilai saham EHP yang dibeli pada harga 584 Rupiah sesaham hampir 10 tahun lalu kini hanya sekitar 111 rupiah sesaham.
"Saya telah banyak kali bangkitkan isu berkaitan pelaburan Felda dalam syarikat perladangan di Indonesia, EHP sama ada di dalam Dewan Rakyat mahupun di luar Dewan Rakyat.
"Pada 24 Julai 2026, ketika ramai yang menyentuh tentang isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji, saya kongsikan satu catatan ringkas bertajuk 'Bercakap tentang KWAP dan Tabung Haji, tapi jangan lupa Felda'.
Menurutnya, buat pertama kali sejak kerajaan Pakatan Harapan, Barisan Nasional (PHBN) dibentuk, Perdana Menteri mengulas secara langsung isu berkaitan pelaburan Felda dalam EHP pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan gambaran umum mengenai urus niaga pembelian 37 peratus saham EHP oleh Felda.
"Asalnya Felda Global Ventures (FGV) Berhad yang bercadang melabur dalam EHP. Namun, FGV tidak menerusnya cadangan tersebut. Sebaliknya, Felda pula yang membuat keputusan untuk melabur dalam EHP. Memandangkan Felda tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membelinya, maka syarikat bawah Kementerian Kewangan, GovCo Holdings Berhad (GovCo) telah memberi pinjaman sebanyak RM2,300 juta.
"Selepas hampir 10 tahun, apa yang berlaku? Saham EHP yang dibeli pada harga 584 Rupiah sesaham hampir 10 tahun lalu hari ini nilainya 111 Rupiah sesaham. Maknanya, nilai saham yang dibeli telah jatuh 81 peratus. Saham EHP pernah jatuh ke paras terendah 50 Rupiah sesaham pada sekitar bulan Jun 2024.
"Berdasarkan nilai saham EHP pada hari ini serta kejatuhan nilai Rupiah, pelaburan yang bernilai sekitar RM2,300 juta sewaktu dibeli pada tahun 2016 kini bernilai sekitar RM300 juta sahaja," katanya.
Menurutnya, dalam tempoh tersebut, Felda tidak menerima sebarang pulangan dan sehingga 13 Oktober 2025, Felda telah membayar prinsipal hutang serta faedah berjumlah RM166.8 juta.
Mohd Radzi berkata, sebaliknya, baki hutang Felda kepada GovCo berdasarkan rekod pada 30 September 2025 adalah berjumlah RM2,770 juta.
"Kesimpulannya, Felda pinjam RM2,300 juta untuk buat pelaburan dalam EHP pada tahun 2016. Felda tidak mendapat sebarang pulangan disepanjang tempoh pelaburan. Sebaliknya di sepanjang tempoh tersebut Felda telah membayar prinsipal hutang dan faedah berjumlah RM166.8 juta. Felda juga kena lunaskan baki hutang sebanyak RM2,770 juta.
"Ini adalah satu gambaran umum untuk urus niaga pembelian saham EHP. Saya akan sentuh secara lebih mendalam, termasuk berkaitan put option dalam tulisan-tulisan selepas ini," katanya.