'Dulu tidur dalam rumah berlubang, kini anak-anak ada bilik sendiri'

Iklan
Raas (kiri) dan tiga anaknya teruja selepas menerima rumah baharu menerusi peruntukan Saravanan (dua dari kiri) di Kampung Orang Asli Batu 9, Jalan Pahang pada Sabtu.

TAPAH - Impian seorang bapa tunggal untuk menyediakan kediaman lebih selesa dan selamat buat tiga anaknya akhirnya tercapai selepas menerima sebuah rumah baharu.

Raas Basresh, 36, yang membesarkan tiga anak berusia antara tujuh hingga 11 tahun, sebelum ini terpaksa tinggal di sebuah rumah buluh yang sudah uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia bersama anak-anaknya menetap di rumah pusaka berusia kira-kira 10 tahun sebelum keadaan kediaman itu semakin teruk akibat dimakan usia.

“Rumah saya betul-betul sudah usang, berlubang dan tidak selamat untuk anak-anak. Sebab itu saya mohon bantuan daripada Datuk Seri M Saravanan (Ahli Parlimen Tapah) untuk mendapatkan rumah baharu.

Iklan

“Saya sangat berterima kasih kerana beliau memberi rumah ini untuk saya dan anak-anak supaya kami dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa dan selamat, terutama untuk mereka belajar dan membesar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunci daripada Saravanan di Kampung Orang Asli Batu 9, Jalan Pahang di sini.

Raas berkata, sebagai bapa tunggal, dia bergantung kepada pekerjaan tidak tetap bagi menyara keluarga dengan pendapatan sekitar RM40 hingga RM50 sehari.

Iklan

Katanya, pelbagai pekerjaan dilakukan termasuk mengambil pucuk paku dan hasil hutan serta mengambil upah memotong rumput bagi menampung keperluan harian dan persekolahan anak-anak.

“Saya kerja sendiri dan pendapatan pun tidak menentu. Kadang-kadang ambil pucuk paku, hasil hutan atau upah mesin rumput. Dengan pendapatan RM40 atau RM50 sehari, banyak yang perlu digunakan untuk makan dan perbelanjaan sekolah anak.

“Kalau hendak bina rumah sendiri bukan tidak boleh, tetapi mungkin mengambil masa yang lama. Jadi saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang membantu dan memberikan rumah ini kepada kami,” katanya.

Lebih menggembirakan Raas, ketiga-tiga anaknya begitu teruja sebaik sahaja memasuki rumah baharu berkenaan malah masing-masing tidak sabar untuk menikmati ruang bilik sendiri.

“Saya pun sedih dan terharu melihat mereka begitu gembira mendapat rumah seperti ini. Walaupun hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, rumah ini memberikan tempat yang lebih baik untuk mereka belajar dan menjalani kehidupan,” katanya.

Menurutnya, dia amat menghargai bantuan berkenaan dan berjanji akan menjaga rumah tersebut sebaik mungkin.

Sementara itu Saravanan berkata, rumah itu melibatkan peruntukan berjumlah RM25,000 kepada seorang bapa tunggal Orang Asli yang mempunyai tiga anak masih bersekolah.

Menurutnya, peningkatan jumlah penduduk Orang Asli di Tapah turut menyebabkan isu perumahan menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, peruntukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang terhad menyebabkan pihaknya mengambil inisiatif membantu membina rumah baharu untuk keluarga yang memerlukan.

"Kita jangan harap JAKOA buat semua sebab peruntukan mereka pun tidak cukup. Saya perlu tambah sedikit sebanyak mana-mana yang boleh kita tambahkan rumah.

"Saya kena jaga kebajikan sebab saya tidak mahu mereka rasa mereka tercicir," katanya.

Katanya, pembinaan rumah berkenaan bertujuan memastikan keluarga terbabit mendapat tempat tinggal yang lebih selesa dan kemudahan asas seperti masyarakat lain.

Tamat