SUBANG JAYA - Cubaan puluhan pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertukar menjadi drama apabila sebahagian daripada mereka nekad melarikan diri ke kawasan lombong berhampiran rumah kongsi di tapak pembinaan kondominium di USJ 23, di sini, awal pagi Sabtu.
Serbuan kira-kira jam 1.55 pagi itu digerakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor serta Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sinar Harian yang mengikuti operasi itu menyaksikan suasana yang pada awalnya sunyi bertukar kecoh selepas segelintir penghuni rumah kongsi berkenaan melarikan diri daripada pemeriksaan JIM.
Walaupun hanya berkain pelikat dan ada yang terjatuh ketika cuba meloloskan diri, warga asing terbabit nekad memasuki kawasan lombong berhampiran rumah kongsi tersebut.
Pasukan operasi kemudian berjaya menahan beberapa lelaki warga asing yang berada di kawasan lombong itu selepas dipujuk untuk menyerah diri sebelum proses dokumentasi dilaksanakan.
Selain itu, ada antara penghuni terbabit dikesan menyorok di bawah katil kononnya mahu mengelak daripada ditahan.
Pemerhatian seterusnya mendapati rumah kongsi dua tingkat itu berada dalam keadaan tidak teratur dan bersepah dengan sambungan elektrik yang disyaki berbahaya selain turut dilengkapi kedai runcit, dapur serta ruang kantin.
Seorang wanita Indonesia berusia lingkungan 40-an yang ditahan di lokasi mendakwa menetap di situ dan bekerja sebagai tukang cuci rumah.
"Saya dibayar gaji RM55 sehari sejak setahun lalu.
"Dulu datang ke sini (Malaysia) menaiki penerbangan dan menggunakan dokumen pasport. Tapi sekarang pasport mati," katanya.
Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, operasi itu memeriksa 385 individu sebelum menahan 198 orang yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk sembilan wanita, atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 50 tahun.
"Semakan awal mendapati tangkapan terdiri daripada 20 warga Indonesia, 148 warga Bangladesh, 28 warga Myanmar serta masing-masing seorang warga Nepal dan Pakistan.
"Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Katanya, JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau berdepan tindakan undang-undang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.