IPOH - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berhubung penahanan 10 anggotanya yang dikaitkan dengan kes pemerasan di Pulau Pinang.
Pemangku Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Jafri Muhamad berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.
"Kenyataan rasmi telah dikeluarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.
"Kes masih dalam peringkat siasatan di bawah Polis Pulau Pinang dan kita akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan kes itu," katanya kepada pemberita sempena sidang akhbar Kejayaan Operasi Gali Mega di Ibu Pejabat PGA Ulu Kinta di sini pada Jumaat.
Jafri berkata, siasatan dalaman berhubung kes itu telah pun dimulakan antara lain melibatkan aspek tatatertib.
"Sebagaimana kehendak pucuk pimpinan, kita tidak akan berkompromi. Peringkat Briged Utara juga tidak akan berkompromi dengan salah laku pegawai dan anggota," katanya.
Media melaporkan, seramai 10 anggota PGA pelbagai pangkat daripada konstabel hingga inspektor ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan di sebuah kilang sisa elektrik dan elektronik (e-waste) Tasik Gelugor Pulau Pinang pada Rabu.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua mereka berusia 30 hingga 40 tahun bertugas di Batalion 2 PGA Kulim Kedah.