Jual diesel subsidi tanpa lesen, PNK Sungai Besar didenda RM320,000

Iklan
PNKSB didenda RM320,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis atas tiga pertuduhan berkaitan penjualan diesel secara borong tanpa lesen yang sah, dua tahun lalu.

KUALA SELANGOR – Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar (PNKSB) didenda RM320,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan berkaitan penjualan diesel secara borong tanpa lesen yang sah, dua tahun lalu.

Hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Redza memutuskan demikian selepas wakil persatuan berkenaan selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah dalam dua kes berasingan pada 5 Mac dan 30 Julai 2024 di premis berbeza sekitar Sungai Besar dan Sekinchan.

Iklan
Iklan

Dalam kes pertama, PNKSB berdepan dua pertuduhan iaitu berurusan dengan barang kawalan, diesel, secara borong tanpa lesen sah mengikut Peraturan 3(1) serta gagal mematuhi syarat lesen runcit seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 13(2), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Bagi pertuduhan kedua, persatuan itu didapati bersalah menjalankan aktiviti penjualan diesel secara borong tanpa lesen sah, sekali lagi mengikut peraturan sama.

Iklan

Bagi kes pertama, mahkamah mengenakan denda RM80,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM160,000 sementara denda RM160,000 bagi kes kedua.

Berdasarkan kenyataan media, Siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mendapati persatuan berkenaan memiliki lesen untuk menjual diesel secara runcit kepada nelayan.

Iklan

Bagaimanapun katanya, OKS membenarkan sebuah syarikat yang tidak mempunyai lesen berkaitan mengurus operasi penjualan bahan api itu.

Perbuatan tersebut bercanggah dengan syarat lesen runcit barang kawalan berjadual yang menetapkan bekalan diesel hendaklah dijual terus kepada bot nelayan tempatan yang berdaftar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN Selangor, Norhashimah Hashim, manakala PNKSB diwakili peguam bela yang dilantik.

Menurut KPDN Selangor, tindakan berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen borong yang sah merupakan kesalahan serius di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan berkenaan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(2), Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015), yang memperuntukkan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya bagi pertubuhan perbadanan.

KPDN Selangor menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap pemegang lesen atau persatuan yang melanggar syarat ditetapkan, selain menyalahgunakan kemudahan subsidi yang sepatutnya dinikmati golongan sasar.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan atau salah laku dalam urus niaga boleh menyalurkan aduan lengkap kepada KPDN menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.