SHAH ALAM - Malaysia perlu memberi perhatian kepada sistem pengurusan, tadbir urus, budaya keselamatan dan kesiapsiagaan rantaian bekalan dalam membangunkan program tenaga nuklear negara.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Harith B. Zainal Abidin berkata, perkara itu antara pengajaran yang diperoleh hasil lawatan kerja delegasi akademik UTM ke Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia pada 13 dan 14 Ogos lalu.
Menurutnya, ia termasuk tinjauan ke Reaktor Serba Guna G.A. Siwabessy di Serpong, sebuah reaktor 30 megawatt yang telah beroperasi sejak 1987.
"Sebagai ahli akademik dalam bidang pengurusan kualiti dan operasi, perkara yang paling menarik perhatian saya di sana bukanlah teras reaktor itu sendiri, tetapi sistem di sekelilingnya: prosedur operasi, rekod penyelenggaraan, rantaian kelulusan dan cara sesebuah organisasi memastikan bahawa apa yang tertulis benar-benar dilakukan setiap hari selama hampir empat dekad," katanya.
Menurutnya, banyak amalan jaminan kualiti moden berakar dalam industri nuklear, manakala Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menuntut sistem pengurusan bersepadu yang meletakkan keselamatan sebagai keutamaan tertinggi kepimpinan organisasi.
"Program nuklear yang gagal jarang gagal kerana fizik. Ia gagal kerana tadbir urus, kos dan sistem pengurusan," katanya.
Beliau berkata, Malaysia kini berada pada titik peralihan apabila tenaga nuklear kembali dinyatakan sebagai pilihan dalam campuran tenaga negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-13.
Menurutnya, MyPOWER Corporation di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dilantik sebagai organisasi pelaksana program tenaga nuklear atau Nuclear Energy Programme Implementing Organisation (NEPIO), bagi menerajui dan menyelaras usaha persediaan pembangunan program tenaga nuklear negara berdasarkan pendekatan berfasa (Milestones Approach) IAEA.
"Kerangka sedang dibina dan justeru inilah masanya kita belajar daripada jiran yang lebih lama berada dalam perjalanan ini," katanya.
Dr Muhammad Harith mengemukakan empat cadangan utama bagi memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia dalam bidang berkenaan dan yang pertama, fungsi jaminan perlu dipisahkan daripada fungsi operasi.
Beliau berkata, prinsip paling asas dalam pengurusan kualiti ialah pihak yang mengaudit tidak boleh melapor kepada pihak yang diaudit.
"Indonesia menerapkannya pada peringkat perundangan: Undang-Undang No. 10 Tahun 1997 memisahkan badan pengawas daripada badan pelaksana, dan Badan Pengawas Tenaga Nuklir (BAPETEN) ditubuhkan pada 1998 sebagai institusi berasingan daripada pengendali reaktor.
"Di Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Agensi Nuklear Malaysia kedua-duanya di bawah MOSTI. Susunan ini boleh berfungsi, tetapi kebebasan pengawal selia perlu nyata dalam mandat, peruntukan dan perjawatan, bukan sekadar dalam teks perundangan," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Akta A1779 adalah peluang untuk menyelesaikan perkara berkenaan sebelum wujud projek besar yang mendesak dan yang kedua, budaya keselamatan mesti diukur dan bukan sekadar diisytiharkan.
Menurutnya, sistem yang diaudit sekali setahun menghasilkan pematuhan bermusim, sedangkan reaktor tidak menerima pematuhan bermusim.
"Reaktor TRIGA PUSPATI mencapai kegentingan pertama pada Jun 1982 dan kini berusia 44 tahun. Misi penilaian keselamatan IAEA pada 2025 mengiktiraf komitmen Malaysia terhadap operasi selamat, sambil menyarankan penambahbaikan dalam keberkesanan jawatankuasa keselamatan reaktor serta pengurusan pemodenan sistem dan komponennya," katanya.
Rekod IAEA menunjukkan TRIGA PUSPATI mencapai kegentingan pertama pada 28 Jun 1982 dan kini merupakan reaktor penyelidikan yang masih beroperasi.
Dr Muhammad Harith berkata, saranan sedemikian wajar dilihat sebagai input penambahbaikan berterusan.
"Yang penting ialah wujudnya kitaran tertutup: penemuan audit, tindakan pembetulan, pengesahan keberkesanan dan pelaporan yang boleh disemak," katanya.
Ketiga, menurutnya, rantaian bekalan negara belum bersedia dan beliau menyifatkannya sebagai jurang paling mendesak dan paling kurang dibincangkan.
Menurutnya, Malaysia berkemungkinan besar memilih reaktor modular kecil daripada vendor asing, namun nilai jangka panjang projek sebegitu tidak terletak pada harga belian, sebaliknya pada sejauh mana industri tempatan mampu menyertai rantaian bekalannya.
"Pembekal industri nuklear tertakluk kepada piawaian seperti ISO 19443 - satu tahap kebolehkesanan, kawalan proses khas dan pengesanan komponen palsu yang jauh melangkaui amalan ISO 9001 biasa.
"Bagi majoriti PKS pembuatan kita, jurang ini besar dan tidak boleh dirapatkan dalam dua tahun melalui kursus pensijilan," katanya.
Beliau berkata, program kesiapsiagaan rantaian bekalan perlu bermula sekurang-kurangnya lima tahun sebelum sebarang keputusan pembinaan.
"Jika tidak, kandungan tempatan projek nuklear pertama negara akan terhad kepada kerja tanah dan pembinaan sivil sahaja," katanya.
Dr Muhammad Harith berkata, Indonesia menangani soal keupayaan itu secara berperingkat, antaranya melalui program Reaktor Daya Eksperimen sejak 2015 yang membangunkan reka bentuk reaktor 10 MWt berteknologi HTGR dalam negeri.
"Usaha sebegini membina keupayaan menilai dan keupayaan menilai inilah yang menentukan kedudukan tawar-menawar di hadapan vendor," katanya.
Sementara bagi cadangan keempat, menurutnya, pengetahuan perlu diuruskan dan bukan sekadar melatih tenaga kerja.
Beliau berkata, program nuklear memerlukan komitmen 15 hingga 20 tahun, sedangkan dalam tempoh itu jurutera bersara, pegawai bertukar dan pengetahuan tersirat boleh hilang jika tidak diuruskan sebagai aset.
"Modal insan juga tidak boleh disempitkan kepada jurutera dan ahli fizik; ia memerlukan ahli ekonomi tenaga, pakar pengurusan risiko dan rantaian bekalan, juruaudit sistem pengurusan, serta pakar komunikasi saintifik.
"Di sinilah kerjasama universiti dengan institut penyelidikan serantau menjadi lapisan paling murah dalam diplomasi teknologi," katanya.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Harith berkata, penerimaan masyarakat juga tidak boleh diserahkan kepada kempen perhubungan awam semata-mata.
Menurutnya, Badan Tenaga Nuklir Nasional (BATAN) di Indonesia menjalankan tinjauan penerimaan awam berskala nasional secara berkala, dengan data yang menunjukkan penerimaan terhadap rancangan loji nuklear meningkat daripada 49.5 peratus pada 2011 kepada 77.53 peratus pada 2016. Data berkenaan turut direkodkan dalam bahan penyelidikan BRIN yang memetik hasil tinjauan BATAN.
"Dalam kerangka kualiti, suara pemegang taruh ialah data bersiri yang dikumpul secara berkala dan dibenarkan mempengaruhi keputusan, bukan mesej yang disampaikan selepas keputusan dibuat.
"Malaysia wajar mula membina siri data setara dari sekarang," katanya.
Dr Muhammad Harith berkata, satu lagi pengajaran penting ialah keperluan memastikan kesinambungan dasar merentas kitaran politik.
Beliau berkata, kajian kebolehlaksanaan loji kuasa nuklear di Semenanjung Muria dijalankan antara 1991 hingga 1996, tetapi tertangguh pada 1997 berikutan penemuan gas Natuna dan krisis kewangan Asia, sebelum dihidupkan semula sejak 2005.
"Malaysia pula pernah menubuhkan organisasi pelaksana program nuklearnya sendiri pada 2011 sebelum agenda itu disimpan semula.
"Kekangan sebenar bagi kedua-dua negara bukan teknologi, tetapi kesinambungan dasar merentas kitaran politik," katanya.
Menurutnya, kitaran pilihan raya berlangsung setiap lima tahun, manakala kitaran projek nuklear adalah tiga hingga empat kali ganda lebih panjang.
"Sumbangan universiti dalam agenda ini bukan membuat keputusan - itu bidang kuasa kerajaan dan pengawal selia.
"Sumbangan kita ialah menyediakan bukti yang boleh diperiksa secara terbuka, supaya keputusan yang dibuat kelak berasaskan data dan bukan sentimen," katanya.