JELI - Seorang anggota polis cedera ketika bergelut dengan lelaki dipercayai pengedar dadah sebelum suspek mengacukan parang ke arah polis dalam serbuan di Kampung Lubuk Bongor di sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menjalankan serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan.
“Ketika anggota polis berusaha membuat tangkapan, berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota serbuan menyebabkan seorang anggota mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri serta bahu kiri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan, polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 36 sentimeter.
“Turut ditemukan satu plastik lutsinar mengandungi enam biji pil berwarna kemerahan yang disyaki dadah jenis pil kuda.
“Pil-pil tersebut ditemukan di dalam sebuah beg pinggang berwarna hitam,” katanya.
Kamarulzaman berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan individu yang dikehendaki Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Jeli kerana disyaki aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah berkenaan.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.