Bekas CEO Tabung Haji tiba di mahkamah untuk permohonan reman

Iklan
Seorang bekas CEO Lembaga Tabung Haji hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi prosiding reman membantu siasatan SPRM berkaitan pendedahan Laporan RCI TH.

PUTRAJAYA - Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) hadir di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat bagi prosiding permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.

Lelaki berusia lingkungan 60-an itu tiba kira-kira jam 9.35 pagi dengan menaiki kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan
Iklan

Ahli korporat berkenaan yang memakai baju lokap SPRM berwarna oren dilihat tenang ketika dibawa masuk ke mahkamah dengan diiringi pegawai suruhanjaya.

Pada Jumaat lalu, SPRM menahan tujuh individu termasuk seorang wanita terdiri daripada seorang CEO, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH bagi membantu siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan.

Iklan

Suspek pertama, iaitu seorang CEO syarikat perkapalan bergelar Datuk berusia lingkungan 60-an, ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH membabitkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum bagi kepentingan syarikat miliknya.

Dua lagi suspek yang masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri berusia lingkungan 60-an pula ditahan kerana disyaki memperdayakan pegawai TH untuk membuat pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan dengan menawarkan janji potensi syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia.

Iklan

Sementara itu, empat bekas pengurusan kanan TH berusia antara 50 hingga 60-an termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita, ditahan kerana disyaki terbabit dalam amalan rasuah yang mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi bernilai SR2.49 bilion yang telah menyebabkan kerugian kepada TH. 

Bagaimanapun, hanya dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk direman lima hari sehingga 19 Ogos, manakala lima lagi individu dilepaskan dengan jaminan SPRM kerana masalah kesihatan.

Sebelum ini, laporan RCI mengenai TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu merekodkan pelbagai kelemahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan.