KES Rocky akhirnya sampai juga ke mahkamah. Dua individu dikaitkan kejadian itu kini berdepan pertuduhan dan kedua-duanya mengaku tidak bersalah. Maka bermulalah satu lagi episod yang selepas ini akan ditentukan melalui proses undang-undang.
Merak Jalanan lihat perjalanan kes ini daripada awal pun sudah cukup untuk melihat betapa cepatnya masyarakat kita membuat kesimpulan. Ada yang marah, ada yang simpati, ada yang mempertahankan Rocky dan tidak kurang juga terus menghukum pihak tertentu sebelum kes dibicarakan.
Iklan
Iklan
Begitulah media sosial. Belum sempat mahkamah buka fail, netizen sudah buka fail sendiri. Belum saksi dipanggil, keputusan sudah dibuat. Ada yang siap jadi pendakwa raya, hakim dan peguam dalam satu ruangan komen.
Merak Jalanan bukan mahu menentukan siapa salah atau siapa betul. Itu kerja mahkamah. Kalau benar ada kekejaman terhadap Rocky, biarlah perkara itu dibuktikan melalui keterangan dan proses undang-undang.
Apa yang penting, jangan sampai kemarahan terhadap satu kejadian menyebabkan kita sendiri melanggar batas undang-undang. Tuntut keadilan tetapi jangan mencipta keadilan sendiri.
Lagipun, kes ini baru bermula. Pertuduhan bukan bermaksud seseorang itu sudah bersalah. Yang menentukan akhirnya bukan jumlah komen, bukan jumlah perkongsian dan bukan siapa paling kuat menjerit di media sosial. Tetapi mahkamah.
Diharap juga pencinta haiwan berpuas hati dengan perkembangan kes ini. Cuma Merak Jalanan teringat satu perkara. Dulu Merak Jalanan pernah juga kena kejar anjing liar. Mujur sempat terbang. Kalau tidak, mungkin Merak Jalanan pun hari ini sudah jadi bahan perbicaraan.