BN belum pilih jodoh PRN Melaka, tunggu ‘pinangan’ terbaik - Ab Rauf

Iklan
Ab Rauf (tengah) meninggalkan pekarangan Mahkamah Tinggi Melaka selepas hadir perbicaraan kes saman fitnah beliau pada Khamis.

MELAKA - “Memanglah, kita ini anak dara yang cantik, jadi ramailah orang nak pinang! Kita tunggulah.”

Demikian reaksi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika ditanya mengenai BN seolah-olah menjadi rebutan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Iklan
Iklan

Menurut Ab Rauf, beliau selaku ketua dalam keluarga akan memilih pihak yang menawarkan ‘mas kahwin’ terbaik untuk dijadikan menantu.

“Semua orang tunggu dan saya akan membuat perbincangan. Hasil daripada perbincangan tersebut, saya akan beritahu kepada seluruh rakyat Melaka yang menanti-nanti keputusan ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Melaka di sini pada Khamis selepas menghadiri perbicaraan kes saman fitnah beliau terhadap Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Ditanya sama ada keputusan kerjasama itu akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, beliau berkata perkara tersebut masih tertakluk kepada perbincangan selanjutnya.

Iklan

Pada masa sama, beliau memaklumkan belum ada sebarang titik pertemuan rasmi dengan PN atau PH bagi memulakan rundingan berkaitan konsep ‘BN Plus’.

“Belum ada lagi, tetapi saya sekali lagi menegaskan bahawa walaupun kita berbincang, tidak semestinya kita akan dapat satu titik persamaan dalam menuju hala tuju politik negeri ini.

“Walau bagaimanapun, kita terbuka kepada mana-mana pihak untuk berbincang, asalkan kedua-dua pihak dapat bersama-sama melihat, tak kisah siapa, PKR, PAS ataupun mana-mana parti yang bersedia berbincang dengan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menegaskan BN Melaka akan mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya sebelum ini.

“Apa yang penting ialah Melaka akan mempertahankan 21 kerusi yang kita telah menangi. Tentu ada perubahan dalam kerusi-kerusi yang lain, tapi titik perbincangan itu mesti bermula pada 21 kerusi yang akan kita pertahankan.

“Walaupun ada pertukaran beberapa kerusi, tetap 21,” katanya.

Mengenai kemungkinan pertemuan dengan parti lain dalam tempoh terdekat, Ab Rauf berkata setakat ini belum ada sebarang pertemuan rasmi.

“Saya akan menggunakan Ibu Pejabat UMNO sebagai tempat perundingan, bukan di Melaka,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bahawa beliau tidak mahu menjadi calon PRN sekiranya berlaku kerjasama antara BN dan PH, Ab Rauf menyifatkannya sebagai terlalu awal.

“Itu terlalu awal lagi. Sebab kita belum buat keputusan, siapa ‘jodoh’ kita pun belum ada lagi,” katanya.