KUALA LUMPUR - Penggunaan lampu amaran atau siren tidak boleh dianggap sebagai kebenaran untuk mengabaikan lampu isyarat merah atau mengetepikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Bahkan, setiap kenderaan penguat kuasa yang menggunakan lampu beacon atau lampu isyarat kecemasan ketika menjalankan tugas perlu memastikan laluan yang dilalui benar-benar selamat untuk mengelak risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, penggunaan lampu amaran khas pada sesebuah kenderaan adalah tertakluk kepada Jadual Keenam (Kaedah 24B), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.
Menurutnya, kenderaan kementerian atau agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri dan menjalankan fungsi penyiasatan serta penguatkuasaan, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah tertakluk kepada ketetapan berhubung jenis dan penggunaan lampu amaran khas sebagaimana diperuntukkan.
"Bagaimanapun, kebenaran menggunakan lampu amaran khas atau siren tidak dengan sendirinya memberikan hak keutamaan lalu lintas kepada sesebuah kenderaan.
"Kenderaan-kenderaan tersebut hendaklah memberi amaran mengenai kehadirannya melalui siren, loceng atau hon dua nada sebagaimana yang diperuntukkan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut dilanggar lori imigresen
Anwar arah JIM siasat segera kemalangan lori imigresen
Tiga maut dilanggar lori imigresen: JIM serah siasatan kepada polis
Tiga sekeluarga maut asal Perak, dipercayai sedang bercuti di KL
Tiga beranak maut: JIM laksana siasatan dalaman aspek pematuhan prosedur pengoperasian kenderaan
Tiga maut dilanggar lori imigresen: Polis tahan pemandu lori, pemandu kereta
Tiga maut dilanggar lori imigresen: Identiti mangsa dikenal pasti - Polis
Tiga maut dilanggar lori imigresen: Mangsa berada di kawasan selamat sebelum dirempuh - Polis
Mangsa keempat dilanggar lori imigresen stabil, dirawat di zon kuning HKL - Polis
Beliau sebelum itu melaksanakan tinjauan di lokasi kemalangan tragis yang meragut nyawa tiga sekeluarga selepas dipercayai dilanggar lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Dalam insiden kira-kira jam 1 pagi, Rabu, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12 maut di lokasi kejadian.
Lori tersebut memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dengan lampu suar (beacon) dan siren diaktifkan.
Pada masa sama, sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori berkenaan, menyebabkan lori hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.
Dalam pada itu, Muhammed Hasbullah berkata, pemasangan atau penggunaan lampu beacon pada kenderaan persendirian, persatuan atau kenderaan awam tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.
Jelasnya, mengikut Kaedah 24B-1, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1999 (Pindaan 2024), kenderaan motor dilarang dipasang lampu amaran khas kecuali kenderaan yang disenaraikan secara khusus di bawah Jadual Keenam.
"Sebarang penggunaan 'beacon light' di luar senarai kenderaan yang dibenarkan pula memerlukan kelulusan Menteri Pengangkutan atas syor Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seperti diperuntukkan di bawah Kaedah 24B-2.
"Dalam masa sama, penggunaan lampu beacon tidak memberikan sebarang kekebalan kepada mana-mana kenderaan untuk melanggar lampu isyarat merah, melebihi had laju atau menyekat pengguna jalan raya lain.
"Malah, kenderaan penguat kuasa dan kecemasan yang menjalankan tugas sekalipun perlu memastikan keadaan laluan benar-benar selamat sebelum meneruskan perjalanan, termasuk ketika melintasi persimpangan atau lampu isyarat," ujarnya.
Kata beliau, perkara itu penting bagi mengelakkan penggunaan lampu amaran khas disalah tafsir seolah-olah memberikan keutamaan mutlak sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
"Mengikut Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959, pengguna jalan raya perlu memberi laluan kepada kenderaan penguat kuasa atau kecemasan yang sedang menjalankan tugas rasmi.
"Pada masa sama, tindakan sengaja menghalang, memblok atau mengikut rapat (tailgating) kenderaan pasukan yang sedang menjalankan tugas dalam mod kecemasan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang," katanya.
Tambahnya, PDRM sebelum ini turut mengadakan sesi libat urus bersama agensi penguat kuasa pada 23 Jun lalu bagi memastikan pemahaman dan penyelarasan berkaitan undang-undang jalan raya, termasuk pematuhan Kaedah 24B serta penggunaan warna lampu beacon mengikut spesifikasi ditetapkan.