'Pemberian milikan, pajakan baharu libat kawasan Orang Asli wajar dihenti sementara' - ADUN Semambu

Iklan
Chun Kuang memberitahu masyarakat Orang Asli mesti diberikan ruang untuk terlibat secara terus dalam keputusan yang menyentuh tanah, penempatan, sumber kehidupan dan masa depan komuniti mereka. Foto hiasan

KUANTAN – Pemberian milikan atau pajakan baharu yang melibatkan kawasan mempunyai kepentingan masyarakat Orang Asli wajar dihentikan sementara sehingga status serta sempadan kawasan berkenaan benar-benar jelas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, langkah itu perlu dilaksanakan sementara proses pewartaan dan penyelesaian status tanah Orang Asli masih berjalan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya terdapat kelulusan yang ternyata memberi kesan serius terhadap kehidupan dan hak komuniti, kerajaan perlu bersedia untuk mengkaji semula, membatalkan atau merundingkan semula pemberian tersebut dengan komuniti Orang Asli yang terkesan, mengikut undang-undang dan proses yang sewajarnya.

"Ini termasuk keadaan yang menyebabkan pencemaran sumber air, kemusnahan kawasan hutan atau menjejaskan sumber pendapatan komuniti yang selama ini bergantung kepada hasil hutan dan alam sekitar untuk kelangsungan hidup.

Iklan

Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pengwartaan kawasan Orang Asli di negeri itu dipercepatkan bagi memastikan kawasan yang diperuntukkan kepada masyarakat berkenaan benar-benar terpelihara.

Ia turut berkaitan status Kampung Orang Asli (KOA) di Pahang di mana Paduka Baginda dimaklumkan terdapat sebanyak 264 KOA di seluruh negeri ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Chun Kuang menjunjung kasih titah tersebut tersebut yang jelas menyatakan bahawa masyarakat Orang Asli tidak seharusnya dibiarkan menunggu tanpa kepastian berhubung status tanah yang menjadi tempat tinggal, kawasan pertanian dan sumber kehidupan mereka.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri Pahang bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) perlu melihat isu berkenaan secara menyeluruh, bukan sahaja membabitkan permohonan yang masih dalam proses, tetapi turut meneliti status kelulusan tanah yang telah diberikan sebelum ini.

Menurutnya, titah Al-Sultan turut menegaskan bahawa setiap kawasan mempunyai keadaan dan latar belakang yang berbeza.

Justeru, katanya, penyelesaian tidak boleh menggunakan satu pendekatan yang sama untuk semua Kampung Orang Asli.

Tambah beliau, prinsip 'self-determination', atau hak menentukan masa depan komuniti sendiri, perlu diberi perhatian.

Chun Kuang memberitahu masyarakat Orang Asli mesti diberikan ruang untuk terlibat secara terus dalam keputusan yang menyentuh tanah, penempatan, sumber kehidupan dan masa depan komuniti mereka.

"Saya berharap titah Paduka Baginda dapat diterjemahkan kepada tindakan yang konkrit dan menyeluruh oleh Kerajaan Negeri, JAKOA serta agensi berkaitan, termasuk mempercepatkan proses pewartaan, menyemak kelulusan terdahulu dan memastikan tiada lagi keputusan berkaitan tanah dibuat sehingga mengabaikan kepentingan serta kelangsungan hidup masyarakat Orang Asli.

"Prinsip ini tidak seharusnya terhad kepada Pahang sahaja, sebaliknya perlu diterjemahkan dan dipraktikkan di semua negeri.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu memastikan setiap keputusan berkaitan tanah Orang Asli menghormati suara serta kehendak komuniti, melindungi tanah tradisi dan sumber kehidupan mereka," ujarnya.