Pendidikan integriti asas cegah rasuah

Iklan
Mohd Shukor (tengah) bergambar bersama pemenang Pertandingan Pidato Celik MADANI Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026 di sini pada Rabu. Foto SPRM Pahang

KUANTAN - Usaha membanteras rasuah tidak hanya bergantung kepada aspek penguatkuasaan, sebaliknya perlu bermula dengan pendidikan dan pembentukan nilai integriti sejak usia muda.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, golongan muda mempunyai peranan besar dalam mencorakkan kepimpinan serta masa depan negara.

Iklan
Iklan

Justeru, menurutnya, pertandingan Pidato Celik MADANI Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026 ini memberi ruang kepada para peserta mengetengahkan idea, pandangan dan aspirasi mengenai kepentingan integriti.

"Kerjasama strategik ini akan terus diperkasakan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang daripada sudut ilmu dan kepimpinan.

Iklan

"Tetapi turut teguh dengan nilai amanah, integriti serta akauntabiliti, selaras dengan aspirasi membina Malaysia MADANI yang bebas rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, beliau merasmikan pertandingan itu yang diadakan di De Rhu Beach Resort, Balok di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang, Aizuddin Hakim Mohd Yusof.

Beliau memaklumkan pertandingan itu dapat memperkasakan usaha pendidikan pencegahan rasuah dalam kalangan generasi muda menerusi Program Wira Anti Rasuah (WAR).

Jelasnya, pertandingan yang menghimpunkan 15 peserta itu dilaksanakan hasil kolaborasi strategik SPRM Pahang bersama YADIM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.

"Kolaborasi berkenaan bertujuan memperluas pendidikan integriti dan pencegahan rasuah menerusi pendekatan dakwah, pendidikan serta pengucapan awam.

"Dalam pertandingan itu, tiga kategori dipertandingkan iaitu Sekolah Kebangsaan bagi Tahun 4 hingga 6, Sekolah Menengah bagi Tingkatan 1 hingga 3 serta Sekolah Menengah bagi Tingkatan 4 hingga 6," katanya.

Suci Safya Elbushra Syaifuldin dari Sekolah Kebangsaan Felda Purun muncul pemenang Kategori Sekolah Kebangsaan, manakala Mukhriz Muzakkir Mohd Nazre dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar memenangi Kategori Sekolah Menengah Tingkatan 1 hingga 3.

Nur Aisyah Amani Basri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jengka 4 pula memenangi Kategori Sekolah Menengah Tingkatan 4 hingga 6.

Proses penjurian dikendalikan oleh juri berpengalaman yang diketuai Pegawai Khas Tengku Mahkota Pahang, Teo Wei Sing selaku Ketua Juri.

Beliau dibantu Ketua Penolong Pengarah Bahasa, JPN Pahang, Mat Ganti Mansor serta pegawai SPRM Pahang, Nor Hidayah Mohd. Nor.

 

 

 

 

 

 

 

 

Habis#