Pemilik anjing, penghantar barang didakwa sebabkan kesakitan Rocky

Iklan
Roghini Devi (kanan) dan Muhammad Shah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Khamis.

KLANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pemilik anjing bernama Rocky dan lelaki yang menjadi sasaran kecaman selepas insiden kekecohan operasi penangkapan anjing liar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan, menarik dan menjerut sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu tiga minggu lalu.

Surirumah, S Roghini Devi, 42, dan penghantar barang, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Mujib Saroji.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Roghini Devi didakwa secara tidak munasabah telah menarik Rocky sementara Muhammad Shah Idham Nor Haikal dituduh menjerut anjing jantan itu, menggunakan peralatan gelung tali 'loop'.

ARTIKEL BERKAITAN:Kertas siasatan kes kematian Rocky diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya

Iklan

'Saya diugut, keluarga jadi sasaran selepas kematian anjing Rocky' -Muhammad Shah

Muhammad Shah kait kematian anjing 'Rocky' didakwa Khamis ini

Iklan

Kes anjing Rocky: Polis terima arahan pertuduhan daripada TPR

Kes Anjing Rocky: Jangan pecah keamanan, hadir dengan tertib -KP Selangor

Wanita didakwa pemilik Rocky turut dihadapkan ke mahkamah hari ini

Kes Rocky: Tiada perhimpunan, suasana mahkamah terkawal

Kedua-dua OKS terbabit didakwa menyebabkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan, di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang di sini, antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Mohd Sharif Sabran mencadangkan setiap OKS dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Shah Idham Nor Haikal merayu kadar ikat jamin berkenaan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

“Jaminan tidak seharusnya menjadi bentuk hukuman sebelum prosiding perbicaraan bermula malah syarat tambahan yang dicadangkan, bersifat menekan,” katanya yang hadir bersama peguam, Mahmud Abdul Jumaat.

Sementara itu, Roghini Devi yang diwakili peguam, Jeremy Vinesh Anthony merayu anak guamnya diberi ikat jamin yang rendah dengan alasan suami OKS merupakan Orang Kurang Upaya (OKU). 

"Dia merupakan seorang ibu kepada empat anak maka saya mohon dia tidak dikenakan syarat tambahan,” katanya yang turut dihadiri peguam, Jamie Wong dan Jeichandran Santhirasegaran. 

Turut hadir dalam prosiding ialah peguam pemerhati, Mohd Norazihan Adnan bagi pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang sementara peguam, Audrey Hoh Foong Yee untuk Badan Peguam Malaysia.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mujib membenarkan setiap OKS diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

“Mereka juga dikehendaki melaporkan diri sekali setiap bulan di JPV Selangor dan sebutan semula kes ini ditetapkan pada 8 Oktober depan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis membuka kertas siasatan berhubung kematian anjing berkenaan semasa operasi tangkapan haiwan berkeliaran.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, anjing itu disahkan mati dalam kejadian pada 10.50 malam dan bangkainya dihantar ke JVS bagi tujuan bedah siasat.