KUALA TERENGGANU — Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Superbike Club (ISBC) meneruskan program konvoi kebajikan kali keempat membabitkan kekuatan lebih 200 penunggang motosikal merentasi pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, program kolaborasi yang diketuai Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad bertindak sebagai platform menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan di samping menyemarakkan semangat kemerdekaan.
Menurut beliau, penunggang konvoi membabitkan wakil 12 kontinjen PDRM dan ISBC memulakan perjalanan dari Negeri Sembilan menuju ke Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor sebelum berakhir di Kuala Lumpur sepanjang tempoh 17 hingga 21 Ogos.
"Konsep perjalanan ini adalah untuk menyampaikan sumbangan kepada badan kebajikan, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Polis (PERKEP), rumah anak yatim serta pegawai dan anggota PDRM yang mengalami sakit kronik.
"Menerusi program ini juga, ISBC turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan khas kepada waris anggota yang terkorban akibat renjatan elektrik semasa bertugas di Sabah baru-baru ini," katanya ketika ditemui media sempena program sambutan konvoi PDRM dan ISBC peringkat kontinjen Terengganu di sini pada Rabu.
Tambah Mohd Khairi, program anjuran bersama PDRM dan ISBC itu turut diserikan dengan aktiviti Kibar Jalur Gemilang dan nyanyian lagu patriotik bagi memperingati jasa anggota keselamatan sekaligus menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Mengulas mengenai perkembangan sukan pemotoran di Terengganu, katanya, pihak polis tidak pernah menghalang sebarang aktiviti pemotoran, sebaliknya sentiasa menggalakkan penganjuran program berhemah yang mampu menjana ekonomi penduduk tempatan seperti sektor perhotelan dan rumah inap.
"Apa yang penting adalah mendidik dan membudayakan minat pemotoran secara sihat dan mengikut undang-undang. Kebanyakan peserta konvoi hari ini mematuhi spesifikasi yang ditetapkan PDRM serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Sekiranya mereka mengikut spesifikasi dan tidak menggunakan ekzos berbunyi bising serta mematuhi peraturan jalan raya, pihak polis sedia memberikan sokongan penuh," katanya.
Jelas beliau, kelainan penganjuran kali ini dapat dilihat menerusi pembabitan aktif masyarakat tempatan dan ketua-ketua kelab pemotoran untuk dijadikan ejen kesedaran keselamatan jalan raya.