SHAH ALAM - Aktiviti mempromosikan ikan yang disyaki spesies larangan menerusi platform media sosial TikTok membongkarkan penemuan 92 ekor ikan berkenaan dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Kajang pada Selasa.
Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, risikan dan pemantauan dilakukan susulan pengesanan aktiviti mempromosikan ikan yang dipercayai merupakan spesies larangan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, dsb., bagi Ikan) (Pindaan) 2024.
Menurutnya, hasil risikan mendapati seorang pengguna TikTok dipercayai terlibat mempromosikan beberapa jenis ikan larangan, antaranya Peacock Bass, Amazon Redtail Catfish, Tiger Shovelnose Catfish dan Gar.
"Pemantauan lanjut berjaya mengenal pasti alamat kediaman individu berkenaan sebelum pemeriksaan dijalankan pada 18 Ogos 2026.
Noraisyah berkata, keseluruhan 92 ekor ikan pelbagai saiz bernilai kira-kira RM2,000 disita untuk tujuan siasatan.
"Jumlah ikan yang disita terdiri daripada 54 ekor Gar, 24 ekor Peacock Bass, sembilan ekor Amazon Redtail Catfish dan lima ekor Tiger Shovelnose Catfish.
"Kesemua ikan berkenaan dihantar ke Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor untuk tindakan dan pemeriksaan lanjut," katanya.
Beliau berkata, individu yang dikenal pasti sebagai pemilik serta pengguna akaun TikTok berkenaan turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membantu siasatan.
"Jabatan Perikanan Negeri Selangor akan menjalankan siasatan lanjut berhubung sumber, pemilikan serta aktiviti promosi dan penjualan ikan berkenaan.
"Tindakan penguatkuasaan selanjutnya akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Dalam pada itu, Noraisyah menasihatkan orang ramai supaya tidak mengimport, menjual, memelihara, mempamer atau menyimpan ikan hidup yang tersenarai sebagai spesies larangan tanpa kebenaran.