Polis siasat dakwaan bengkel terbakar tutup bukti sindiket lerai kenderaan

Iklan
Shazeli

SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan berkaitan dakwaan sebuah bengkel melerai dan menjual komponen kenderaan yang sebelum ini dikaitkan dengan sindiket didalangi warga asing di Kampung Bukit Kapar, Klang yang terbakar bagi menutup bukti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya turut melihat aspek kebakaran premis berkenaan sebagai sebahagian daripada siasatan bagi mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan usaha menghapuskan bukti.

Iklan
Iklan

"Setakat ini kita sedang lihat ke arah aspek tersebut juga, mungkin kaedah untuk melupuskan keterangan-keterangan yang berkaitan.

"Jangan bimbang, perkara itu kita sedang siasat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 20-an bagi membantu siasatan susulan penemuan sebuah van jenazah dipercayai dicuri di sebuah bengkel kenderaan terpakai di Bukit Kapar kira-kira jam 7.20 malam pada 7 Ogos lalu.

Malah, seramai 20 warga asing terdiri daripada 19 lelaki dan seorang wanita turut ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di Jalan Kapar pada jam 4.30 petang, 12 Ogos lalu.

Iklan

Serbuan itu membongkar kegiatan dipercayai melibatkan sindiket melerai dan menjual kenderaan curi, termasuk membabitkan kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah syarikat pengurusan jenazah.

Penahanan warga Indonesia dalam serbuan berkenaan turut membongkar dakwaan penglibatan sindiket dalam pengurusan penyediaan rumah penampungan bagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal.

Dalam pada itu, Shazeli berkata, pihaknya ketika ini belum dapat mengesahkan kewujudan sindiket berkenaan kerana hanya dua warga Pakistan ditahan setakat ini.

"Buat masa ini, nak dikatakan sindiket saya tidak berapa yakin sebab hanya dua orang sahaja warga Pakistan yang ditangkap iaitu seorang dikatakan sebagai pemilik dan seorang sebagai pekerja kepada pemilik tersebut.

"Namun, kita juga tidak boleh menafikan berkemungkinan wujud tetapi sindiket itu mungkin di luar, jadi, premis tersebut mungkin dijadikan salah satu tempat untuk sindiket lain meleraikan kenderaan terbabit," katanya.

Shazeli berkata, siasatan masih dijalankan dan kedua-dua suspek masih ditahan bagi membantu siasatan.

"Selain daripada dua orang itu, belum ada tangkapan lain setakat ini," katanya.

Ujarnya, polis turut menyiasat pemilik tanah yang disewakan kepada warga asing bagi menjalankan aktiviti di premis berkenaan.

"Kita sedang siasat pemilik tanah, kenapa boleh menyewakan kepada warga asing," katanya.