KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis berhubung insiden kemalangan maut tiga sekeluarga dengan sebuah lori jabatan terbabit di Jalan Sultan Ismail di sini pada Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kes itu sedang dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Saya mengesahkan kes tersebut.
Kejadian kira-kira jam 1 pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction itu melibatkan kemalangan sebuah lori Isuzu Black Maria milik JIM Kuala Lumpur, dua buah kereta dan empat orang pejalan kaki.
Lori tanpa penumpang berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
Lori tersebut dipercayai telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.
Pada masa yang sama, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki Melayu berusia 50 tahun melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
Pemandu Proton Saga terbabit dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.
Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat orang pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun yang berhenti di persimpangan lampu isyarat ketika kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, kemalangan mengakibatkan tiga ahli keluarga berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa ialah bapa berusia 53 tahun dan dua anak perempuan masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.
Isteri kepada mangsa lelaki terbabit berusia 55 tahun dilaporkan cedera pada bahagian kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki dan telah dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.