TAWAU - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa, selepas mengaku bersalah mengedar dadah jenis syabu sebanyak 6.97 kilogram, dua tahun lalu.
Tertuduh, Hii Sieng Kang, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos.
Menurut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa mengedar methamphetamine seberat 6,968.6 gram di Balai Ketibaan Terminal Lapangan Terbang Tawau pada jam 12.30 tengah hari, 30 Julai 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Sebelum itu, berdasarkan fakta kes, tertuduh tiba di Lapangan Terbang Tawau pada 30 Julai 2024 sebelum tingkah lakunya yang mencurigakan disedari oleh seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) daerah ini.
Pemeriksaan lanjut kemudian dijalankan terhadap bagasi berwarna hitam yang dibawa tertuduh sebelum menemukan 10 bungkusan berwarna biru yang mengandungi dadah jenis syabu.
Sementara itu, peguam bela, Vivian Thien, memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan dengan mengambil kira bahawa tertuduh merupakan pesalah kali pertama.
Menurutnya, tertuduh turut menunjukkan rasa insaf terhadap perbuatannya selain membuat pengakuan bersalah yang sekali gus menjimatkan masa serta kos perbicaraan.
Pesuruhjaya Kehakiman kemudian memberi peluang kepada tertuduh untuk mengemukakan rayuan sebelum tertuduh memohon supaya tempoh hukuman penjara dikira bermula dari tarikh dia ditangkap.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan serta membenarkan hukuman dijalankan bermula pada tarikh tangkapan, iaitu 30 Julai 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan JKDM, Arif Mohamad Shariff.