Maran Mega Campfest himpun campers, semarak pelancongan Maran

Iklan
Enam lokasi perkhemahan di daerah ini bakal digerakkan serentak menerusi Maran Mega Campfest 2026 yang berlangsung dari 25 hingga 27 September depan. Gambar kecil: Shahree Anwar

MARAN – Sebanyak enam lokasi perkhemahan di daerah ini bakal digerakkan serentak menerusi Maran Mega Campfest 2026 yang berlangsung dari 25 hingga 27 September depan.

Mengangkat konsep ‘Satu Daerah, Satu Perkhemahan’, program itu menyasarkan penyertaan komuniti campers dari pelbagai negeri, selain menjadi platform memperkenalkan produk pelancongan dan keindahan alam semula jadi di Maran.

Iklan
Iklan

Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Shahree Anwar Mahmud berkata, enam campsite yang terlibat ialah Campsite Air Terjun Teladas 7, Taman Ekorimba Lubuk Yu, Taman Rekreasi Che Minah Sayang, Bentara Campsite Kuala Sentul, Warisan Campsite Chenor dan Sky Garden Jengka.

Beliau berkata, penganjuran secara serentak itu memberi peluang kepada peserta memilih lokasi perkhemahan mengikut kesesuaian serta pakej yang ditawarkan setiap pengusaha campsite.

Iklan

"Pendaftaran peserta dibuka secara dalam talian menerusi escabee.com, sekali gus memudahkan mereka membuat pilihan lokasi sebelum menyertai program," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 25 September, peserta akan mendaftar masuk dan mengikuti aktiviti santai, manakala 26 September menjadi kemuncak program apabila setiap pengusaha campsite menyediakan pelbagai aktiviti tersendiri untuk peserta di lokasi masing-masing.

Iklan

Beliau berkata, peserta kemudian akan mengikuti sesi santai sebelum daftar keluar pada 27 September.

Selain mengumpulkan komuniti peminat aktiviti perkhemahan, katanya, Maran Mega Campfest 2026 turut dijangka membantu mempromosikan destinasi pelancongan daerah berkenaan, merancakkan ekonomi setempat serta meningkatkan peluang perniagaan pengusaha campsite.

"Pendekatan enam lokasi secara serentak itu turut membolehkan setiap campsite menampilkan identiti, keunikan alam sekitar dan aktiviti tersendiri di bawah satu jenama bersama, iaitu Maran Mega Campfest 2026," katanya.