WJP 2026: Di mana kedudukan Malaysia dalam lanskap indeks kedaulatan undang-undang global?

Iklan
Malaysia telah menetapkan satu sasaran yang jelas dan bercita-cita tinggi melalui Kerangka Ekonomi Madani iaitu untuk muncul dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam CPI menjelang tahun 2030.

MALAYSIA telah menetapkan satu sasaran yang jelas dan bercita-cita tinggi melalui Kerangka Ekonomi Madani iaitu untuk muncul dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2030.

Aspirasi ini bukan sekadar berkaitan usaha membanteras rasuah, malah mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh tadbir urus, integriti, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang sebagai asas kepada pembangunan negara yang mampan.

Iklan
Iklan

Dalam konteks tersebut, ramai yang masih belum menyedari bahawa pencapaian Malaysia dalam CPI turut dipengaruhi oleh prestasi negara dalam World Justice Project (WJP) Rule of Law Index.

Indeks ini merupakan antara penanda aras antarabangsa yang paling berpengaruh dalam menilai kekuatan institusi, keberkesanan sistem keadilan dan tahap pengamalan prinsip kedaulatan undang-undang sesebuah negara.

Iklan

Justeru, kedudukan Malaysia dalam WJP bukan sekadar angka atau ranking di peringkat antarabangsa. Sebaliknya, ia mencerminkan tahap keyakinan masyarakat terhadap institusi negara, keberkesanan pentadbiran awam, integriti sistem perundangan serta keupayaan kerajaan melaksanakan reformasi institusi secara berterusan.

World Justice Project menerbitkan Rule of Law Index setiap tahun bagi mengukur sejauh mana prinsip kedaulatan undang-undang diamalkan dalam sesebuah negara.

Iklan

Pada tahun 2025, penilaian melibatkan 143 buah negara, termasuk penyertaan Qatar sebagai negara baharu.

Berbeza dengan kebanyakan indeks antarabangsa yang hanya menilai aspek tertentu seperti ekonomi atau rasuah, WJP menggunakan pendekatan yang lebih menyeluruh melalui lapan dimensi utama iaitu pembatasan kuasa kerajaan, ketiadaan rasuah, kerajaan terbuka, hak asasi manusia, ketenteraman dan keselamatan, penguatkuasaan peraturan, keadilan sivil serta keadilan jenayah.

Kesemua dimensi ini diukur melalui 44 subfaktor yang merangkumi pelbagai aspek institusi dan pengalaman masyarakat terhadap sistem keadilan.

Berdasarkan WJP Rule of Law Index 2025, Malaysia memperoleh skor keseluruhan 0.57, sekali gus berada pada kedudukan ke-56 daripada 143 negara.

Kedudukan ini tidak berubah berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan prestasi negara berada pada tahap yang stabil tetapi masih belum memperlihatkan peningkatan yang signifikan.

Lebih penting lagi, purata skor rantau Asia Timur dan Pasifik ialah 0.59, menjadikan Malaysia sedikit di bawah purata serantau.

Hakikat ini menunjukkan bahawa masih terdapat ruang yang luas untuk negara memperkukuh sistem penyampaian keadilan, meningkatkan keberkesanan institusi awam dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang.

Kedudukan ini juga mempunyai implikasi yang lebih besar kerana laporan WJP merupakan antara sumber data yang digunakan oleh Transparency International dalam pengiraan CPI.

Oleh itu, usaha memperkukuh prestasi Malaysia dalam WJP bukan sekadar meningkatkan kedudukan dalam satu indeks antarabangsa, malah turut menyokong aspirasi nasional untuk memperbaiki kedudukan negara dalam CPI, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur, komuniti antarabangsa dan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

Menyedari kepentingan tersebut, Kerajaan Madani melalui kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said telah memperkenalkan pelbagai agenda reformasi institusi dan pembaharuan undang-undang.

Antaranya adalah penggubalan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI) 2026, Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia, Rang Undang-undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026, pindaan undang-undang berkaitan amanah serta pelbagai reformasi institusi lain yang bertujuan memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus negara.

Usaha ini diperkukuh melalui peranan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, yang diterajui oleh Datuk Zamri Misman selaku Ketua Pengarah merangkap Ketua Peneraju Kumpulan Fokus Perundangan di bawah Pasukan Petugas Khas CPI Kebangsaan.

Selari dengan pendekatan kerajaan yang menekankan dasar berasaskan bukti (evidence-based policymaking), BHEUU turut menubuhkan Pasukan Penyelidikan Kedaulatan Undang-undang yang berperanan sebagai Ahli Jawatankuasa Kajian Penambahbaikan CPI.

Pasukan penyelidikan ini menghimpunkan kepakaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Multimedia, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tenaga Nasional.

Penglibatan pelbagai institusi pengajian tinggi bersama agensi kerajaan dan masyarakat sivil mencerminkan pendekatan kolaboratif yang lebih menyeluruh dalam memahami faktor sebenar yang mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam indeks antarabangsa.

Bagaimanapun, memahami keputusan WJP memerlukan kefahaman terhadap metodologi yang digunakan.

Penilaian WJP dibangunkan melalui tiga sumber utama iaitu General Population Poll (GPP) - mengukur persepsi orang awam (rakyat); Qualified Respondents' Questionnaire (QRQ) - mendapatkan pandangan pakar daripada bidang perundangan, kehakiman, penguatkuasaan, akademik dan masyarakat sivil serta data sekunder - daripada organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dan pelbagai institusi antarabangsa lain.

Pendekatan triangulasi ini menjadikan WJP antara indeks yang paling komprehensif di peringkat global. Namun begitu, seperti mana-mana instrumen pengukuran antarabangsa, WJP turut mempunyai beberapa kekangan metodologi yang wajar difahami sebelum sesuatu kesimpulan dibuat.

Antara isu yang paling ketara ialah penggunaan data General Population Poll (GPP) Malaysia yang masih berpandukan data yang dikumpulkan pada tahun 2017. Dalam tempoh hampir sedekad tersebut, negara telah melalui pelbagai perubahan politik, pentadbiran dan reformasi institusi yang signifikan.

Reformasi undang-undang, penambahbaikan dasar serta transformasi institusi yang dilaksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini belum dapat diterjemahkan sepenuhnya dalam penilaian semasa kerana data persepsi rakyat masih belum dikemas kini.

Selain itu, komponen Qualified Respondents' Questionnaire (QRQ) hanya melibatkan 29 orang pakar bagi Malaysia untuk penilaian tahun 2025. Walaupun mereka terdiri daripada individu yang mempunyai kepakaran tinggi, jumlah tersebut masih kecil berbanding keluasan ekosistem perundangan negara.

Justeru, peningkatan bilangan pakar yang lebih pelbagai daripada sudut kepakaran, wilayah dan latar institusi berpotensi menghasilkan gambaran lebih menyeluruh.

Aspek keterwakilan geografi juga merupakan cabaran yang perlu diberi perhatian. Data GPP Malaysia sebelum ini hanya diperoleh daripada tiga kawasan utama iaitu Lembah Klang, Johor Bahru dan Ipoh.

Pendekatan ini tidak menggambarkan sepenuhnya realiti masyarakat di negeri-negeri lain, khususnya Sabah dan Sarawak yang mempunyai ciri demografi, geografi, sosioekonomi serta struktur pentadbiran yang berbeza.

Di samping itu, konsep rule of law sendiri tidak semestinya ditafsir secara seragam dalam semua negara. Faktor budaya, sistem perundangan, sejarah institusi dan pengalaman sosial boleh mempengaruhi bagaimana responden memahami konsep seperti akauntabiliti kerajaan, kebebasan kehakiman, ketelusan pentadbiran dan akses kepada keadilan.

Oleh sebab sebahagian besar penilaian WJP bergantung kepada persepsi, dapatan yang diperoleh juga berpotensi dipengaruhi oleh sentimen semasa, liputan media, perkembangan politik dan tahap pendedahan masyarakat terhadap sesuatu isu.

Walaupun persepsi merupakan komponen penting dalam mengukur tahap keyakinan masyarakat terhadap institusi, ia tidak semestinya menggambarkan keseluruhan realiti institusi yang sedang mengalami proses pembaharuan.

Dalam masa yang sama, WJP hanya mengukur 44 subfaktor tertentu.

Beberapa dimensi yang semakin penting dalam konteks pentadbiran moden seperti budaya integriti organisasi, literasi undang-undang masyarakat, pendidikan sivik, inovasi digital dalam penyampaian keadilan serta keberkesanan pelaksanaan reformasi institusi tidak dinilai secara langsung.

Oleh itu, WJP harus dilihat sebagai penanda aras global yang penting, tetapi bukan satu-satunya ukuran terhadap kekuatan keseluruhan ekosistem kedaulatan undang-undang negara.

Mengambil kira kekangan tersebut, Malaysia memerlukan penyelidikan yang lebih komprehensif bagi memahami faktor sebenar yang mempengaruhi prestasi negara dalam indeks antarabangsa.

Pendekatan penyelidikan tempatan yang berasaskan bukti bukan bertujuan mempertikaikan kredibiliti WJP, sebaliknya melengkapkan pemahaman terhadap dapatan yang diperoleh supaya dasar dan reformasi dapat dirangka secara lebih tepat, bersasar dan berimpak tinggi.

Dalam jangka panjang, dapatan penyelidikan ini berpotensi menjadi asas kepada pembangunan Indeks Kedaulatan Undang-undang Malaysia iaitu satu instrumen nasional yang mengambil kira realiti perundangan, struktur institusi, kepelbagaian negeri dan konteks sosioekonomi negara.

Indeks nasional sedemikian tidak bertujuan menggantikan WJP, sebaliknya melengkapkan penanda aras antarabangsa melalui ukuran yang lebih terperinci dan relevan dengan keperluan Malaysia.

Akhirnya, kedudukan Malaysia dalam World Justice Project Rule of Law Index bukan sekadar soal meningkatkan penarafan negara pada peringkat antarabangsa.

Yang lebih penting ialah bagaimana indeks tersebut dimanfaatkan sebagai alat diagnostik untuk mengenal pasti kelemahan, menilai keberkesanan reformasi serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Usaha memperkukuh kedaulatan undang-undang tidak boleh bergantung kepada pindaan undang-undang semata-mata. Ia memerlukan komitmen berterusan daripada Kerajaan, badan kehakiman, agensi penguat kuasa, institusi pendidikan tinggi, masyarakat sivil, sektor swasta dan rakyat sendiri.

Hanya melalui pendekatan yang menyeluruh, inklusif dan berasaskan bukti, Malaysia mampu memperkukuh reputasinya sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang serta merealisasikan aspirasi untuk muncul dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah menjelang tahun 2030.

*Dr. Mafuzah Mohamad merupakan Pensyarah Kanan, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah. Penyelidik merangkap Ahli Jawatankuasa Kajian Penambahbaikan CPI