BALING - Satu aktiviti penyelewengan Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi bernilai lebih RM50,000 berjaya ditumpaskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Ketil di sini pada Isnin.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pihaknya menyita 30 unit tong bersubsidi LPG 14 kilogram (kg), 10 tong industri LPG 50 kg, 17 unit hos dan sebuah lori untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 1 petang itu membabitkan jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 57,638.
"Pemeriksaan di lokasi mendapati berlaku aktiviti pemindahan LPG bersubsidi yang mana dipercayai dalam proses pemindahan ke dalam tong industri LPG 50 kilogram (kg) di atas sebuah lori.
"Ketika serbuan dilakukan, tiada individu ditemui di tempat kejadian, suspek dipercayai melarikan diri setelah menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa," katanya.
Beliau berkata, lokasi di ladang kelapa sawit dipercayai sengaja dipilih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelakkan kegiatan haram tersebut dihidu oleh pihak berkuasa.
Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], tambahnya.