Lelaki dipenjara seumur hidup, 12 sebatan edar dadah di Lapangan Terbang Tawau

Iklan
Seorang lelaki dipenjara seumur hidup dan dikenakan 12 sebatan selepas mengaku bersalah mengedar dadah seberat lebih enam kilogram di Lapangan Terbang Tawau, dua tahun lepas. Gambar hiasan

TAWAU -  Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan ke atas seorang lelaki selepas mengaku bersalah mengedar dadah seberat lebih enam kilogram di Lapangan Terbang Tawau, dua tahun lepas.

Hii Sieng Kang, 31, sepatutnya menjalani perbicaraan selama empat hari bermula hari ini, namun membuat pengakuan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.

Iklan
Iklan

Ritikos kemudian memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 30 Julai 2024.

Tertuduh didakwa mengedar methamphetamine seberat 6,968.6 gram di Balai Ketibaan Terminal, Lapangan Terbang Tawau di sini pada 12.30 tengah hari, 30 Julai 2024.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai kastam lelaki di bahagian pemeriksaan penumpang di lapangan terbang itu mengesan tertuduh dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya mengimbas bagasi hitam yang dibawa di mesin pengimbas.

Iklan

Imbasan kemudian mengesan imej mencurigakan dan pemeriksaan mendapati bagasi itu berisi peket-peket berwarna biru dipercayai dadah jenis methamphetamine.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia Arif Mohamad Shariff manakala tertuduh diwakili peguam Vivian Thien. - Bernama