KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan dalam kes subahat rasuah pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad membabitkan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap keputusan yang melepas dan membebaskan balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin tersebut.
Pendakwa Raya selaku perayu, memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini pada 31 Julai lalu.
Perayu juga memohon salinan nota keterangan dan alasan penghakiman, di bawah Seksyen 307(5)Kanun Tatacara Jenayah.
Berdasarkan notis, perayu tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad yang membebaskan Zizie Izette, 48, selaku responden, daripada pertuduhan berkenaan.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi rayuan berkenaan dijalankan pada Rabu.
Pada 20 Julai lalu, Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2001 menerusi drama 'Aduhai Esah' itu dibebaskan atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam mendapatkan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah.
Rosli berkata, pertuduhan terhadap Bung Moktar telah ditarik balik selepas kematiannya pada 5 Disember tahun lalu menyebabkan pihak pendakwaan tidak lagi dapat membuktikan elemen bersubahat terhadap Zizie Izette.
Perjalanan kes berubah apabila Bung Moktar meninggal dunia pada usia 66 tahun akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Susulan kematiannya, Mahkamah Sesyen pada 16 Januari lalu membebaskan bekas Ketua UMNO Sabah itu daripada ketiga-tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadapnya.
Berbeza dengan Zizie Izette apabila perbicaraan terhadapnya diteruskan sehingga selesai memberi keterangan membela diri pada 5 Mac lalu sebelum pihak pembelaan menutup kes.
Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika kejadian sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi.
Zizie Izette didakwa melakukan perbuatannya sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, pelakon itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi dan RM337,500 daripada Norhaili.
Perbuatan didakwa dilakukan melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) dan Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.
Dua kesalahan terbabit didakwa dilakukan di bank sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.18 tengah hari pada 19 Jun 2015.
Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.