MOSCOW - Rusia dan Malaysia merancang untuk memuktamadkan perjanjian mengenai sistem pengecualian visa bersama bagi perjalanan jangka pendek menjelang akhir tahun 2026, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik kenyataan Kedutaan Rusia di Malaysia.
Ketika ini rakyat Rusia boleh melawat Malaysia tanpa visa selama 30 hari manakala warga Malaysia perlu mendapatkan visa untuk ke Rusia.
Sebaik sahaja perjanjian itu dimuktamadkan, pelaksanaan aturan tersebut akan bersifat timbal balik.
"Kami menilai bahawa dokumen berkenaan berada pada peringkat hujung penyediaan. Semasa mesyuarat kelima Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal, dan Kebudayaan yang diadakan baru-baru ini di Vladivostok, kedua-dua pihak menyatakan hasrat untuk menyelesaikan proses perjanjian itu menjelang akhir tahun ini," menurut kedutaan itu kepada akhbar Izvestia.
Perwakilan diplomatik itu turut menyatakan wujudnya minat yang ketara dalam kalangan orang ramai di Malaysia untuk membangunkan hubungan pelancongan dengan Rusia.
Penerbangan terus antara Moscow dan Kuala Lumpur pada asalnya dirancang untuk dimulakan pada separuh pertama 2026 namun ditangguhkan susulan situasi meruncing di Asia Barat serta peningkatan kos perjalanan udara. - Bernama-Sputnik/RIA Novosti