PAPAR - Teguran dan larangan menghisap puntung rokok dipercayai menjadi punca seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikerumuni beberapa individu dalam kejadian di sebuah taman permainan di daerah ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 Ogos lalu selepas rakaman video memaparkan kejadian berkenaan tular di media sosial.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah taman permainan dan membabitkan mangsa bersama beberapa individu lain berusia antara 13 hingga 18 tahun.
"Siasatan mendapati berlaku perselisihan selepas mangsa dipercayai cuba menghisap puntung rokok walaupun telah ditegur dan dilarang oleh individu-individu berkenaan.
"Dalam kejadian itu, mangsa kemudiannya dipegang oleh beberapa individu, manakala seorang lagi dipercayai menyalakan pemetik api ke arah mangsa dengan tujuan menakutkannya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, sebahagian kejadian itu dirakam menggunakan telefon bimbit sebelum rakaman berkenaan dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp dan kemudiannya tersebar di media sosial.
Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dalam kejadian tersebut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah selain daripada atas bangkitan marah yang berat dan mengejut serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
"Polis sedang melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan pengadu, mangsa, saksi serta individu-individu yang terlibat, selain menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mendapatkan bahan bukti berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Heryan berkata, pihaknya memandang serius sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya, ketakutan atau kecederaan kepada kanak-kanak walaupun perbuatan itu dikatakan dilakukan atas alasan bergurau, menakutkan atau mendidik.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak tepat atau terus berkongsi rakaman video berkenaan, khususnya kerana kes itu membabitkan kanak-kanak dan masih dalam siasatan.
"Ibu bapa dan penjaga diharap sentiasa memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak, termasuk penggunaan media sosial dan pendedahan kepada tabiat merokok dalam kalangan golongan bawah umur.
"Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak terus terpelihara," katanya.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi 14 saat memaparkan seorang kanak-kanak dikerumuni sekumpulan kanak-kanak lain dan diugut menggunakan pemetik api.