WASHINGTON - Presiden Donald Trump pada Isnin berkata beliau tidak melanjutkan tempoh perjanjian rangka kerja yang dicapai dengan Iran pada Jun bagi menamatkan perang, selain mendakwa Amerika Syarikat (AS) kini mempunyai"kawalan penuh” ke atas Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Tidak,” jawab Trump ketika ditanya pemberita sama ada beliau mahu melanjutkan tempoh perjanjian dengan Iran yang dicapai pada Jun menerusi pengantaraan Pakistan.
Kenyataan itu dibuat ketika tempoh rundingan selama 60 hari hampir berakhir tanpa perjanjian komprehensif, yang sepatutnya dimudahcara menerusi perjanjian rangka kerja berkenaan.
Tempoh itu ditetapkan berdasarkan perjanjian Jun yang membuka ruang bagi rundingan ke arah penyelesaian lebih menyeluruh.
Ditanya sama ada kedua-dua pihak semakin hampir mencapai perjanjian muktamad di bawah rangka kerja berkenaan, Trump berkata, Iran bersedia berunding tetapi belum bersedia menerima syarat yang menurutnya perlu dipenuhi.
"Mereka mahu mencapai perjanjian, tetapi mereka tidak akan mencapai jenis perjanjian yang saya rasakan perlu,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.
"Lihat, kami berada di sana atas satu sebab: Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.
"Anda faham bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan mereka tidak akan memilikinya,” kata beliau.
Trump turut ditanya mengenai kenyataan terbaharunya bahawa beliau akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah AS tidak lama lagi.
Beliau mempertahankan cadangan itu dan berkata, tentera AS mengawal laluan perairan strategik berkenaan menerusi sekatan.
"Saya fikir ia idea yang bagus. Maksud saya, kami mengawalnya. Kami mengawalnya menerusi sekatan. Kami mempunyai sekatan. Kami mengawalnya melalui sekatan dan saya suka idea untuk mengisytiharkannya sebagai wilayah.
"Kami mempunyai kawalan penuh ke atas selat itu. Sekarang, mereka boleh menimbulkan gangguan ... tetapi sekatan itu sangat berkesan,” katanya.
Trump berkata, sekatan AS berkesan dan mendakwa tindakan negara itu membolehkan jutaan tong minyak melalui rantau berkenaan setiap minggu.
"Kami membawa keluar jutaan tong minyak seminggu, mungkin keadaan itu akan berhenti atau mungkin ia akan dibuka dengan lebih luas lagi.
"Selat itu terbuka dan harga minyak sedang turun serta akan terus turun melainkan kami memutuskan untuk mengambil tindakan yang jauh lebih drastik daripada apa yang sedang kami lakukan,” kata Trump sambil menambah bahawa Iran kini"berdepan masalah besar”.
Presiden itu turut menyentuh peranan Oman dalam usaha diplomatik membabitkan negara jirannya, Iran, serta pembukaan semula Selat Hormuz.
Ditanya sama ada beliau sudah hilang sabar dengan Oman, Trump berkata, negara itu tidak"bertindak dengan baik”, namun mencadangkan AS mampu menangani keadaan berkenaan.
"Tidak, saya tidak fikir mereka bertindak dengan baik, tetapi kami boleh menangani mereka dengan mudah, sama seperti kami menangani perkara lain,” kata Trump. - Bernama-Anadolu