Indonesia desak Rusia henti rekrut rakyatnya ke medan perang

Iklan
Anggota tentera Rusia berarak ketika latihan raptai perbarisan Hari Kemenangan di Dataran Istana, Saint Petersburg. Foto hiasan: AFP

JAKARTA – Indonesia secara rasmi mendesak Rusia menghentikan pengambilan rakyatnya sebagai anggota tentera atau pasukan berkaitan ketenteraan susulan laporan kematian seorang warga Indonesia yang didakwa berperang di Ukraine.

Menurut agensi berita Antara, desakan itu telah disampaikan kepada Moscow melalui saluran diplomatik bagi memastikan rakyat Indonesia tidak lagi direkrut menyertai angkatan tentera Rusia.

Iklan
Iklan

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mewengkang berkata, kerajaan turut bimbang kegiatan pengambilan anggota tentera asing berkenaan berpotensi melibatkan unsur pemerdagangan manusia.

“Kerajaan Indonesia meminta Rusia mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan rakyat kami tidak direkrut menyertai tentera atau mana-mana formasi berkaitan ketenteraan melalui sebarang saluran,” katanya pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, Jakarta turut meminta Moscow memasukkan Indonesia dalam senarai negara yang rakyatnya dikecualikan daripada pengambilan anggota tentera asing.

Menurutnya, langkah tersebut perlu dilaksanakan dengan segera dan berkesan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Indonesia terjebak dalam konflik bersenjata.

Iklan

Desakan itu dibuat selepas Perisikan Pertahanan Ukraine (HUR) pada 27 Oktober mendakwa seorang warga Indonesia yang menyertai tentera Rusia terbunuh selepas seminggu ditempatkan di medan perang.

Individu dikenali sebagai MT itu dilaporkan dilahirkan pada 1978 dan pernah bekerja sebagai pemandu teksi di Jakarta.

Menurut dakwaan HUR, lelaki berkenaan direkrut menerusi kontrak perkhidmatan tentera selama setahun sebelum dihantar bertempur di Ukraine.

Bagaimanapun, Yvonne menegaskan Kedutaan Indonesia di Moscow masih menjalankan siasatan bagi mengesahkan identiti, status serta kesahihan laporan kematian tersebut.

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi sehingga proses pengesahan selesai.

Dalam pada itu, kerajaan Indonesia mengingatkan rakyatnya supaya berhati-hati menerima tawaran pekerjaan di luar negara, terutama yang menjanjikan gaji tinggi dan faedah luar biasa.

Mereka juga dinasihatkan menyemak kesahihan tawaran melalui saluran rasmi dan tidak menandatangani kontrak yang tidak difahami.

Sebelum ini, pihak berkuasa Indonesia turut menyiasat dakwaan bahawa beberapa rakyatnya diperdaya dengan tawaran pekerjaan awam sebelum direkrut menyertai tentera Rusia. - Agensi