Nenek simbah minyak tanah, bakar cucu hingga koma

Iklan
Suspek ketika memberi keterangan kepada pihak berkuasa. Foto: Agensi

JAKARTA – Seorang nenek berusia 64 tahun di Depok, Indonesia mengaku menyesal selepas bertindak membakar cucu perempuannya sehingga mengalami kecederaan parah dan koma hanya kerana remaja itu enggan menjemputnya pulang.

Mangsa yang dikenali sebagai LA, 17, dilaporkan mengalami luka melecur pada 80 peratus anggota badan dan masih menerima rawatan di Hospital Fatmawati.

Iklan
Iklan

Menurut laporan detikNews, kejadian berlaku di Bojongsari, Depok pada Isnin lalu, kira-kira jam 1.40 tengah hari waktu tempatan.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Metro Depok, AKBP Made Gede Oka Utama berkata, kejadian bermula apabila suspek dikenali sebagai M meminta cucunya menjemputnya di rumah seorang rakan.

Iklan

Bagaimanapun, mangsa tidak memenuhi permintaan itu menyebabkan suspek terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk pulang ke rumah.

Sebaik tiba, suspek mendapati cucunya sedang bermain telefon bimbit lalu memarahinya kerana enggan datang menjemput.

Iklan

Dalam keadaan marah, wanita itu didakwa mengambil minyak tanah sebelum menyimbahnya ke badan mangsa dan menyalakan api pada pakaiannya.

Mangsa yang kesakitan menjerit meminta pertolongan, sebelum suspek bertindak menyiram air untuk memadamkan api.

Remaja berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Fatmawati untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak Polis Metro Depok, AKP Tamar Bekti berkata, suspek mengakui menyesali tindakannya.

Menurutnya, wanita terbabit mendakwa tidak berniat membakar cucunya, sebaliknya hanya mahu memberikan pengajaran supaya remaja itu mendengar nasihatnya.

“Saya menyesal. Saya tidak berniat membakar cucu saya. Saya cuma mahu memberikan amaran supaya dia mendengar cakap nenek,” katanya seperti dipetik penyiasat.

Bagaimanapun, polis mengesahkan mangsa masih belum sedarkan diri dan berada dalam keadaan koma setakat Jumaat.

Suspek kini berdepan tindakan undang-undang di bawah peruntukan berkaitan keganasan rumah tangga dan perlindungan kanak-kanak, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Polis turut menjalankan pemeriksaan psikiatri terhadap wanita itu bagi menentukan keadaan mentalnya ketika kejadian. - Agensi