TEMERLOH - Seorang pemandu lori tangki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh pada Selasa atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua beranak, Jumaat lalu.
Norazlan Mahayuddin, 37, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan pada prosiding tersebut.
Dia didakwa dua pertuduhan iaitu memandu sebuah lori tangki secara berbahaya selepas mengambil kira keadaan jalan, saiz jalan dan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku di lokasi kejadian.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian dua beranak iaitu, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12 dalam kemalangan berkenaan.
Kesalahan tersebut dilakukan di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, kira-kira jam 4 petang, Jumaat lalu.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Norazlan dilihat menghampiri ahli keluarganya yang berada di kamar mahkamah sebelum bersalaman dengan mereka.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amal Razim Alias menawarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan kepada tertuduh.
Sementara itu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin mewakili tertuduh memohon agar jaminan minimum diberikan atas alasan anak guamnya telah memberi kerjasama kepada pihak berkaitan dalam siasatan dan bukan risiko melarikan diri.
Mazieera Ra memaklumkan tertuduh mempunyai tanggungan termasuk dirinya, isteri dan ibunya.
"Anak guam saya berasal dari Labu, Negeri Sembilan dan bekerja sebagai pemandu lori tangki dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan dan tidak mempunyai anak," katanya dalam mitigasi rayuan pada prosiding terbabit.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 1 Oktober depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
ARTIKEL BERKAITAN:
Nahas lori tangki dan kereta: Mangsa rentung dipercayai wanita dan anak lelaki 12 tahun
Kereta dihempap lori tangki sebelum terbakar, pemandu dan penumpang disyaki rentung
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Nur Fatima Syuhada dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki yang membawa muatan 32,000 liter bahan api.
Insiden itu menyebabkan mereka terperangkap di dalam kenderaan sebelum ditemui rentung manakala pemandu lori hanya cedera ringan.
Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanggang di sini pada Isnin.