Beruang pecah masuk rumah wanita, 'kebas' KFC

Iklan
Kendra percaya beruang terbabit bersaiz besar berdasarkan kerosakan yang ditinggalkan. Foto hiasan

KENTUCKY - Seorang wanita di Harlan County, Kentucky, Amerika Syarikat terkejut selepas seekor beruang memecah masuk ke rumahnya awal pagi sebelum meninggalkan kediaman berkenaan dalam keadaan berselerak dan sebuah meja kaca pecah.

FOX 56 News melaporkan, Kendra North berkata, dia tidak menyedari kejadian itu kerana tidur nyenyak, namun kakaknya yang tinggal di rumah sebelah terdengar bunyi bising sebelum menghubunginya kira-kira jam 5 pagi.

Iklan
Iklan

Menurut Kendra, kakaknya beberapa kali menghubunginya sebelum dia akhirnya menjawab panggilan berkenaan.

"Kakak saya berkata, ada beruang dan ia baru keluar dari rumah kamu. Ia turun tangga dan memandang tepat ke arah saya di halaman," katanya.

Iklan

Kendra percaya beruang terbabit bersaiz besar berdasarkan kerosakan yang ditinggalkan.

"Meja saya diperbuat daripada kaca yang sangat tebal dan ia pecah sepenuhnya. Kakak saya mendengar bunyi meja itu pecah dari dalam rumah dan menyangka berlaku kemalangan kereta di luar," ujarnya lagi.

Iklan

Kendra berkata, dia percaya lebihan makanan yang ditinggalkan di atas meja menjadi tarikan kepada beruang terbabit untuk masuk ke rumahnya.

“Saya agak sedih kehilangan KFC saya,” katanya.

Bagi Kendra, kejadian itu menjadi pengalaman yang sukar dilupakan dan pengajaran supaya lebih berhati-hati dalam menyimpan makanan serta memastikan pintu rumah ditutup dengan baik.

"Jangan sesekali tinggalkan lebihan ayam goreng di atas meja dapur dan pastikan pintu ditutup dengan baik," kongsinya lagi.

Penyelaras Program Beruang Kentucky Fish and Wildlife, John Hast, berkata terdapat beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan penduduk bagi mengelakkan kediaman mereka menjadi sasaran beruang.

Menurutnya, makanan haiwan peliharaan juga tidak wajar ditinggalkan di luar rumah, termasuk di anjung, kerana ia boleh menjadi sumber makanan mudah kepada beruang.

"Jika anda menyimpan makanan haiwan atau memberi makan anjing di luar, pastikan tiada makanan yang ditinggalkan kerana ia boleh menarik beruang datang dan mendapatkan makanan dengan mudah,” katanya.

Josh turut menasihatkan penduduk supaya memeriksa sumber makanan lain sekiranya terdapat laporan mengenai kehadiran beruang berhampiran rumah.

“Jika terdapat laporan beruang di kawasan berhampiran rumah, perhatikan juga lokasi tong sampah anda,” katanya. - Agensi