Hampir 13,000 hilang tempat tinggal

Iklan
Mangsa gempa bumi menerima rawatan di khemah perubatan sementara di hadapan Hospital Ruteng, Manggarai. Foto AFP

MBAY - Hampir 13,000 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi kuat yang melanda Pulau Flores, timur Indonesia, dengan sebahagian mangsa mendakwa masih menunggu bantuan ketika terpaksa tidur di kawasan terbuka.

Gempa bermagnitud 7.7 yang melanda awal Sabtu lalu meragut 53 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang, menurut perkembangan terbaharu pada Isnin.

Iklan
Iklan

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Berton Suar Pelita Panjaitan berkata, jumlah penduduk yang tidak dapat kembali ke kediaman masing-masing meningkat kepada 12,800 orang setakat pagi Isnin.

Mereka kini ditempatkan di beberapa kawasan di Flores termasuk sekolah, balai polis dan pejabat kerajaan, manakala sebahagian lagi mendirikan khemah sementara di kawasan terbuka.

Iklan

Seorang lelaki duduk di celah runtuhan bangunan yang rosak akibat gempa bumi. Foto AFP

Ramai penduduk terpaksa tidur di luar rumah untuk malam kedua berturut-turut kerana bimbang dengan ratusan gegaran susulan yang terus melanda wilayah berkenaan.

Iklan

Di Mbay, Nagekeo yang terletak berhampiran pusat gempa, penduduk menggunakan kanvas dan tiang untuk membina tempat perlindungan sementara.

Seorang penduduk, Junaidin, 32, berkata, kediaman mereka tidak lagi selamat diduduki akibat kerosakan teruk.

"Rumah kami tidak lagi boleh didiami kerana banyak yang runtuh dan dipenuhi rekahan. Kami tidak boleh masuk lagi.

"Kami hanya pulang untuk mengambil air, pakaian dan bantal sebelum kembali bermalam di sini," katanya.

Khemah sementara didirikan Junaidin kini menempatkan kira-kira 30 orang.

Pasukan penyelamat memindahkan seorang penduduk menggunakan pengusung. Foto AFP

Bantuan didakwa lambat

Junaidin turut meluahkan kekecewaan terhadap bantuan yang didakwanya lambat tiba ketika sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung di ibu negara, Jakarta.

"Tolong buka mata, kerajaan. Kami rakyat anda dan sebahagian daripada anda. Jadi tolong jaga kami," rayunya.

Seorang lagi mangsa, Siti Saudah Daso, 31, berkata, dia bersama tiga anaknya meninggalkan rumah tanpa sempat membawa sebarang keperluan.

"Kami melarikan diri tanpa membawa apa-apa. Hanya pakaian yang dipakai.

"Mereka kata akan memberikan bantuan tetapi belum ada buktinya. Sejujurnya kami agak kecewa," katanya.

Sebuah motosikal berhenti berhampiran bangunan yang runtuh akibat gempa bumi. Foto AFP

Dalam pada itu, Tentera Udara Indonesia memaklumkan kira-kira 13 tan bantuan kecemasan sedang dihantar menggunakan dua pesawat pengangkut Hercules dan sebuah Boeing.

Helikopter turut dikerahkan bagi menghantar bekalan terus kepada mangsa di kawasan terpencil yang sukar diakses.

Bantuan tersebut merangkumi makanan, pakaian, air bersih dan peralatan perubatan kecemasan, manakala anggota tentera ditempatkan di beberapa lokasi utama bagi membantu proses pengagihan.

Ribuan kanak-kanak terjejas

Operasi mencari mangsa masih diteruskan menerusi darat dan udara walaupun setakat ini tiada laporan individu hilang.

Penduduk terpaksa tinggal di kawasan lapang di Kampung Nangahale, Sikka. Foto AFP

Pegawai mencari dan menyelamat, Fathur Rahman berkata, pasukannya masih menyisir kawasan terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kami menjalankan operasi darat dan udara menggunakan helikopter. Tiada laporan orang hilang tetapi kami masih memeriksa kawasan untuk memastikan keadaan benar-benar selamat," katanya.

BNPB memaklumkan sekurang-kurangnya 914 rumah mengalami kerosakan teruk, manakala ratusan lagi mengalami kerosakan pada tahap berbeza.

Puluhan kemudahan awam termasuk sekolah, pusat kesihatan dan pejabat kerajaan turut terjejas.

Save the Children pula menganggarkan lebih 8,000 kanak-kanak kini berdepan risiko keselamatan selain gangguan terhadap pendidikan susulan bencana tersebut.- AFP