TEHERAN - Iran membidas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan mendesaknya 'menerima hakikat kekalahan' ketika pertikaian mengenai penguasaan Selat Hormuz terus memuncak.
Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi berkata, laluan strategik yang menjadi antara nadi utama perdagangan tenaga dunia itu akan kekal berada di bawah kawalan Teheran.
Kenyataan tersebut dibuat sebagai respons terhadap dakwaan Trump bahawa Selat Hormuz bakal diisytiharkan sebagai 'wilayah Amerika Syarikat' selepas Washington menewaskan Iran.
"Selat itu hanya akan dibuka dan ditutup atas arahan Iran. Selagi anda tidak menerima hakikat kekalahan dan terus berkhayal, Iran akan meneruskan sekatan," kata Gharibabadi menerusi platform X.
Beliau turut menegaskan bahawa Selat Hormuz selama ini adalah milik Iran dan akan terus kekal sedemikian.
Ketua Badan Kehakiman Iran, Gholam-Hossein Mohseni-Eje'i pula melontarkan kritikan lebih keras dengan menyifatkan Trump sebagai 'seorang yang kalah sepenuhnya' dalam arena politik dan ketenteraan.
Menurutnya, Selat Hormuz merupakan bahagian yang 'tidak dapat dipisahkan' daripada Iran.
"Apa yang gagal dicapai kapal pengangkut pesawat bernilai berbilion dolar tidak akan dapat dicapai menerusi beberapa ciapan dan ucapan," katanya seperti dilaporkan media kerajaan Iran.
Trump mahu Hormuz jadi 'wilayah AS'
Trump sebelum itu ketika berucap pada perhimpunan politik di New York berkata, beliau akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah AS selepas Iran ditewaskan.
Perang mulut terbaharu itu berlaku ketika usaha diplomatik untuk menamatkan konflik serta sekatan di laluan berkenaan terus menemui jalan buntu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi sebelum ini menegaskan Teheran tidak akan kembali ke meja rundingan selagi Washington gagal memenuhi beberapa tuntutannya.
Antaranya termasuk pembayaran pampasan perang, penamatan sekatan laut AS, pemansuhan sekatan ekonomi, pengunduran tentera Amerika dari rantau berkenaan serta pembebasan aset Iran yang dibekukan.
Kerajaan Iran menganggarkan kerugian akibat konflik mencecah kira-kira AS$270 bilion (RM1.09 trilion).
Trump pula menuntut Iran membayar pampasan atas kematian anggota tentera AS selain mengancam meneruskan sekatan laut terhadap Teheran untuk tempoh tidak ditentukan.
Pertikaian itu turut memberi tekanan ekonomi kepada kedua-dua negara apabila rakyat AS berdepan kenaikan harga bahan api, manakala Iran mengalami lonjakan inflasi yang meningkatkan kos barangan asas.
Namun, setakat ini tiada petunjuk Washington atau Teheran bersedia berkompromi bagi menamatkan konflik tersebut. - Agensi