LIMA - Beberapa bandar di Peru dan Ecuador dilanda banjir besar susulan hujan lebat yang dikaitkan dengan fenomena El Nino, mengakibatkan puluhan kematian serta menjejaskan kehidupan ribuan penduduk.
Di Piura, wilayah di utara Peru, air banjir dilaporkan mencecah paras pinggang selepas hujan lebat berterusan selama 12 jam sejak Khamis lalu.
Ketua Institut Pertahanan Awam Kebangsaan Peru, Luis Vasquez berkata, kira-kira 2,000 keluarga terjejas akibat bencana itu. Antara kawasan paling teruk dilanda banjir ialah kejiranan Santa Margarita.
Banjir berkenaan menyebabkan pesakit di wad jangkitan pernafasan Hospital Jose Cayetano Heredia terpaksa dipindahkan ke auditorium fasiliti itu manakala mereka yang memerlukan pemantauan rapi ditempatkan di unit rawatan intensif.
Bagi menangani situasi itu, pasukan tentera mengerahkan anggota dan peralatan mengepam air ke kawasan terjejas. Bagaimanapun, penduduk mendakwa usaha mengatasi banjir masih perlahan selain beberapa mesin tidak dapat beroperasi kerana bekalan bahan api tidak mencukupi.
Sementara itu, Perkhidmatan Meteorologi dan Hidrologi Kebangsaan Peru memberi amaran bahawa hujan sederhana hingga lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan dalam tempoh empat hari berikutnya.
Di Ecuador, sekurang-kurangnya 34 kematian direkodkan dan kira-kira 47,000 penduduk terjejas akibat hujan lebat yang dikaitkan dengan fenomena ekstrem serupa.
Penduduk di bandar Manta terpaksa meredah air sehingga paras dada selepas paras dua sungai melimpah. Ada antara mereka yang terpaksa menggunakan tilam sebagai pelampung untuk berpindah.
Peru dan Ecuador merupakan antara negara di Amerika Latin yang mengisytiharkan darurat susulan kejadian cuaca ekstrem berkaitan El Nino.
Fenomena itu berlaku apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa meningkat, sekali gus mengubah corak angin serta taburan hujan di beberapa kawasan dunia.
Fenomena El Nino kali ini mencatatkan kekuatan luar biasa dan berpotensi mencetuskan kejadian cuaca ekstrem di beberapa kawasan Amerika Latin serta rantau lain.
Presiden Peru, Keiko Fujimori turut menangguhkan lawatan ke Colombia bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada krisis berkenaan selain merancang meninjau kawasan yang terjejas. - AFP