KELULUSAN sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar satu lagi proses menggubal undang-undang.
Lebih penting, RUU itu adalah jawapan Kelantan selepas Mahkamah Persekutuan pada Mac 2024 membatalkan 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (1) 2019.
Persoalan paling besar bukan berapa banyak fasal terkandung dalam RUU baharu itu, tetapi sejauh mana penstrukturan semula mampu menghasilkan undang-undang lebih kemas, jelas dan kukuh dari sudut bidang kuasa.
Dengan sembilan bahagian, 62 fasal dan satu jadual berkaitan kesalahan takzir serta hukuman di bawah Hukum Syarak, RUU ini jelas tidak mengambil pendekatan mudah dengan menghidupkan semula peruntukan lama satu demi satu.
Sebaliknya, beberapa kesalahan ditambah baik, sebahagiannya diolah semula dan ada digugurkan. Itu penting.
Dalam soal liwat misalnya, Seksyen 14 tidak dikekalkan dalam bentuk asal, sebaliknya ditambah baik melalui Fasal 15 mengenai kewajipan menjaga alat kemaluan dan Fasal 16 berkaitan kewajipan menjaga anggota badan selain alat kemaluan.
Seksyen 16 mengenai persetubuhan dengan mayat dan Seksyen 17 mengenai persetubuhan dengan bukan manusia pula di bawah Fasal 15.
Pendekatan ini menunjukkan satu perkara: Kelantan cuba menyusun kesalahan bukan semata-mata berdasarkan label perbuatan, tetapi melalui kerangka kewajipan yang menjadi asas kepada peruntukan berkenaan.
Begitu juga kesalahan muamalat. Seksyen 40 mengenai melaksanakan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak diolah menjadi Fasal 39, iaitu kesalahan mengambil ujrah secara bertentangan dengan hukum Syarak.
Seksyen 43 mengenai menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat pula dimasukkan di bawah Fasal 13 mengenai menggalakkan mungkar atau maksiat.
Seksyen 31 mengenai gangguan seksual digugurkan. Begitu juga Seksyen 41 mengenai melakukan transaksi muamalat secara riba dan lain-lain serta Seksyen 48 berkaitan muncikari.
Turut digugurkan ialah Seksyen 36 mengenai apa-apa yang mengkhayalkan, Seksyen 39 berkaitan mengurangkan skala, ukuran dan berat, Seksyen 42 mengenai penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal, Seksyen 44 mengenai perbuatan sebagai persediaan menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat serta Seksyen 45 mengenai perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan maksiat.
Perenggan 37(1)(b) mengenai berjudi juga digugurkan, tetapi fasal berkaitan berjudi ditambah baik di bawah Fasal 37. Seksyen 34 berkaitan memiliki dokumen palsu serta memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu pula ditambah baik di bawah Fasal 32: Syahadatul Zur.
Kesemua perubahan itu membawa kepada satu kesimpulan yang tidak boleh dipandang ringan, RUU ini bukan sekadar menukar nombor seksyen atau menyusun semula ayat lama. Ia cuba menentukan semula apakah kesalahan yang wajar dikekalkan, apakah yang perlu diperincikan dan apakah yang perlu diletakkan di bawah kerangka kesalahan yang lebih umum.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan RUU itu sebagai naskhah perundangan yang diberikan nilai tambah dengan penuh ketelitian selepas melalui pelbagai peringkat sebelum dibawa ke DUN.
Katanya, keistimewaan RUU berkenaan terletak pada pembugarannya yang berpaksikan maqasid syariah dengan setiap peruntukan kesalahan disusun rapi bagi memastikan setiap denyut perundangan selari dengan objektif pensyariatan Islam.
Kelulusan sebulat suara RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 bukan garisan penamat. Sebaliknya, ia permulaan kepada ujian sebenar.
Ujian itu ialah bagaimana setiap fasal diterjemahkan, dilaksanakan dan akhirnya dipertahankan.
Kelantan sudah mengambil langkah pertama dengan membina semula kerangka kesalahan Syariah selepas 16 peruntukan lama dibatalkan.
Kini, ukuran kejayaan bukan pada tepukan ketika RUU diluluskan, tetapi sejauh mana naskhah baharu itu mampu berdiri teguh apabila berdepan realiti pelaksanaan dan penelitian undang-undang.
*Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Biro Sinar Harian Kelantan