Zakat enjin bina ekonomi ummah

Iklan
KEMAJUAN sesebuah negara tidak boleh mengabaikan golongan fakir dan miskin menurut Islam.

BERBICARA mengenai zakat, kebanyakan masyarakat hanya melihatnya dari sudut pemberian bantuan kepada golongan asnaf, sedangkan hakikatnya fungsi zakat jauh lebih besar daripada itu.

Zakat merupakan satu sistem ekonomi Islam yang bukan sahaja mengagihkan kekayaan, malah membina kestabilan ekonomi, mengurangkan jurang kemiskinan dan melahirkan lebih ramai individu yang mampu menjadi pembayar zakat pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

Profesor Kehormat Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Profesor Dr Fatimah Kari menjelaskan, kekuatan sesebuah masyarakat Islam bukan diukur melalui jumlah penerima bantuan, tetapi sejauh mana sistem zakat mampu mengubah penerima menjadi penyumbang.

Ujarnya, dalam sistem ekonomi moden, cukai merupakan instrumen fiskal yang digunakan kerajaan bagi membiayai pembangunan negara dan kadarnya boleh berubah mengikut dasar semasa dan keadaan ekonomi.

Iklan

PROFESOR DR FATIMAH

“Sebaliknya zakat mempunyai struktur yang kekal dan konsisten. Kadar zakat misalnya, ditetapkan sebanyak 2.5 peratus apabila memenuhi syarat-syarat tertentu.

Iklan

Menurutnya, kestabilan inilah yang menjadi antara kekuatan sistem ekonomi Islam sejak lebih 1,400 tahun lalu.

“Ia bukan sekadar ibadah, malah zakat mewujudkan suasana ekonomi yang lebih teratur dan dapat dirancang dalam jangka panjang,” jelasnya.

Membesarkan 'kek ekonomi' ummah

Namun begitu, jumlah kutipan zakat tidak akan meningkat sekiranya ekonomi umat Islam sendiri tidak berkembang.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan ekonomi yang memberi penekanan kepada aspek pengeluaran atau supply side amat penting.

“Maksudnya, umat Islam perlu memiliki lebih banyak perusahaan, menguasai rantaian bekalan, mencipta peluang pekerjaan dan menghasilkan lebih banyak kekayaan.

“Sebaliknya, jika ekonomi lemah, peluang pekerjaan berkurangan, keuntungan merosot dan akhirnya bilangan penerima zakat semakin meningkat sedangkan jumlah pembayar semakin mengecil,” hurainya.

Justeru katanya, usaha memperkasakan ekonomi umat bukan sekadar untuk meningkatkan keuntungan, tetapi juga bagi memastikan institusi zakat terus mempunyai sumber yang mencukupi untuk membantu mereka yang memerlukan.

Pendidikan jalan keluar kemiskinan

Beliau juga berkongsi satu pengalaman menarik melalui program libat urus komuniti bersama kanak-kanak di sebuah pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR).

SISTEM yang menekankan kebajikan seperti zakat mampu membantu mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni.

Ujarnya, pelbagai modul dibangunkan bagi memupuk nilai murni seperti menghormati ibu bapa, rajin belajar, bercita-cita tinggi serta kesedaran tentang sedekah dan zakat.

“Namun, satu soalan yang diajukan oleh peserta benar-benar membuka mata saya.

“Mereka bertanya, mengapa perlu bersedekah atau membayar zakat sedangkan mereka sendiri tidak melihat perubahan yang berlaku di sekeliling mereka?

Lebih penting lagi katanya, pendidikan mengenai zakat, sedekah dan tanggungjawab sosial perlu dipupuk sejak usia muda agar lahir generasi yang memahami bahawa kekayaan bukan sekadar untuk dinikmati, tetapi juga dikongsi.

Putuskan rantaian kemiskinan antara generasi

Beliau turut berkongsi dapatan kajian mengenai kemiskinan antara generasi yang mendapati terdapat keluarga yang mewarisi kemiskinan daripada ibu bapa kepada anak-anak sehingga membentuk satu kitaran yang sukar diputuskan.

“Namun, terdapat satu faktor yang sentiasa konsisten membantu seseorang keluar daripada kemiskinan iaitu pendidikan.

“Hari ini peluang pendidikan jauh lebih luas berbanding dahulu. Selain laluan akademik, pelbagai institusi TVET, kolej komuniti dan latihan teknikal menawarkan kemahiran yang memenuhi kehendak pasaran pekerjaan,” jelasnya.

PENDIDIKAN boleh mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan.

Tambahnya, tidak semua orang perlu menjadi doktor atau jurutera untuk berjaya dan apa yang penting ialah memiliki ilmu, kemahiran dan sikap yang baik agar mampu meningkatkan taraf hidup sendiri.

Lahirkan lebih ramai muzakki

Beliau menjelaskan, matlamat akhir sistem zakat bukanlah untuk menambah bilangan penerima bantuan.

“Sebaliknya, kejayaan sebenar institusi zakat ialah apabila seseorang yang dahulunya menerima bantuan akhirnya mampu berdikari, memiliki pekerjaan atau perniagaan sendiri dan seterusnya menjadi pembayar zakat (muzakki).

“Itulah kitaran yang diimpikan oleh Islam. Apabila semakin ramai muzakki dilahirkan, dana zakat akan terus berkembang, lebih ramai asnaf dapat dibantu dan ekonomi umat Islam akan menjadi semakin kukuh,” ujarnya.

Katanya, zakat pada akhirnya bukan sekadar instrumen kebajikan, tetapi menjadi pemangkin pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial yang mampu membina sebuah masyarakat yang saling menguatkan antara satu sama lain.