SHAH ALAM - Pengurniaan Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah membolehkan baginda mencipta sejarah sebagai kerabat diraja negara ini yang pertama menerima anugerah bidang penerbangan profesional tertinggi dari angkatan tentera udara.
Justeru, kejayaan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat negeri Pahang, bahkan mencerminkan ketekunan dan disiplin tinggi baginda dalam menempuh latihan ketenteraan.
Perkara itu disahkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris yang menegaskan kejayaan Tengku Mahkota Pahang dan para pelatih lain menamatkan latihan merupakan hasil ketekunan, semangat juang, ketahanan mental serta disiplin tinggi yang diterapkan sepanjang latihan.
Beliau berkata, di sebalik setiap kejayaan, terdapat ibu bapa dan ahli keluarga yang tidak pernah putus berdoa, selain memberikan dorongan dan semangat sepanjang para graduan menempuh latihan.
"Pengurniaan Sayap Penerbangan bukanlah penamat kepada sebuah perjalanan. Sebaliknya, ia merupakan permulaan kepada amanah dan tanggungjawab yang jauh lebih besar.
"Mulai hari ini (Sabtu), sayap yang tersemat di dada membawa bersama-samanya maruah, harapan dan kepercayaan perkhidmatan serta negara," katanya ketika berucap pada istiadat berkenaan.
Tengku Hassanal sebelum ini berangkat menyertai Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 67 (A)/26 di Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar, yang merangkumi modul teori, keselamatan penerbangan, meteorologi, pengenalan teknikal helikopter EC120B, prosedur kecemasan, simulator serta latihan penerbangan.
Dalam latihan berkenaan, baginda turut menjalani latihan penerbangan termasuk pengenalan kawasan operasi, prosedur asas serta persekitaran udara, selain mengikuti sesi simulator yang dikendalikan jurulatih TUDM.
Pada Sabtu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merangkap Kolonel Yang Dipertua TUDM, berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan di Padang Kawad Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah.
Tengku Hassanal Ibrahim merupakan antara 40 peserta yang menamatkan latihan dan menerima Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), selain 9 pelatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terdiri daripada 37 juruterbang muda dan dua jurusensor senjata-pejuang daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Sementara itu, juara sukan polo kebangsaan, Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman berkata, kejayaan Tengku Mahkota menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter dengan cemerlang membuktikan kesungguhan baginda dalam menceburi bidang profesional, khususnya pertahanan dan ketenteraan.
Menurutnya, perjalanan Tengku Mahkota dalam bidang ketenteraan bukan sesuatu yang mudah kerana baginda sebelum ini turut menjalani latihan bersama Pasukan Khas Udara (PASKAU).
"Tengku Mahkota bukan sahaja bergelar putera mahkota, malah turut terjun sendiri dalam kerjaya ketenteraan, bermula daripada PASKAU sehinggalah menjadi juruterbang helikopter.
"Perjalanan ini bukanlah mudah dan memerlukan ketahanan serta fokus yang tinggi. Baginda membuktikan bahawa kerabat diraja turut mampu berusaha gigih dan cemerlang dalam bidang profesional," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tengku Ahmad Shazril berkata, pencapaian itu bukan sekadar satu penghormatan peribadi kepada Tengku Hassanal, sebaliknya turut membawa imej positif kepada pembangunan pertahanan negara.
"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tengku Mahkota atas kejayaan menerima Sayap Penerbangan TUDM dan mendoakan baginda terus cemerlang dalam bidang pertahanan serta perkhidmatan awam," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo turut menyifatkan pencapaian Tengku Mahkota itu sebagai sesuatu yang amat membanggakan dan memberi inspirasi.
Beliau berkata, beliau memahami tuntutan latihan berintensiti tinggi yang memerlukan ketabahan, fokus dan komitmen berterusan.
"Sama ada di gelanggang sukan mahupun dalam ujian latihan penerbangan, semangat mengejar kecemerlangan adalah sama sahaja.
"Baginda membuktikan bahawa kerabat diraja turut mampu berusaha gigih dalam bidang profesional dan sikap memimpin melalui teladan sebegini wajar dicontohi semua atlet yang berjuang demi negara," katanya.